Selasa, 15 Februari 2022 | 7:03pm
 Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai

Institusi kewangan perlu utamakan pinjaman persendirian, PKS

KUALA LUMPUR: GERAKAN menggesa semua institusi kewangan di negara ini menghentikan pembiayaan bagi pusat beli-belah dan bangunan pejabat, sebaliknya memberi pinjaman bagi pembelian rumah, kenderaan serta perniagaan kecil kepada individu persendirian.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata banyak organisasi terpaksa mengamalkan telekerja (kerja jarak jauh) jangka panjang akibat pandemik COVID-19.

Keadaan itu, katanya, antara lain menyebabkan terlalu banyak pusat beli-belah dan kompleks pejabat yang tidak mampan dari segi kewangan dibina di negara ini.

"Di Kuala Lumpur, penawaran terkumpul pasaran pejabat dikatakan melebihi 91.7 juta kaki persegi (851.92 hektar). Persoalannya adakah terdapat permintaan mencukupi untuk menyamai bekalan ini.

"Banyak firma terpaksa melakukan strategi telekerja jangka panjang dengan fokus pada pendigitalan akibat pandemik. Ini bermakna majikan tidak memerlukan ruang pejabat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rentetan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua institusi kewangan di negara ini memikirkan semula keutamaan mereka.

Katanya, institusi kewangan perlu melanjutkan terma individu dan perniagaan kecil, selain menjadualkan semula terma, membiayai semula lembaran terma serta sebagainya.

"Individu dan PKS adalah tulang belakang ekonomi negara dan tanpa mereka, institusi kewangan tidak akan wujud.

"Apa gunanya melabur berbilion ringgit bagi bekalan infrastruktur berlebihan, sedangkan kelangsungan hidup rakyat terancam," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, institusi kewangan perlu mempertimbangkan kaedah membantu rakyat dan PKS dari segi ekonomi serta kewangan sebelum dana itu dibazirkan bagi pembinaan infrastruktur berlebihan.

"Pembiayaan berlebihan kepada pusat beli-belah dan pejabat mesti segera dihentikan sekarang.

"Bank Negara (BNM), Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan semua peraturan lain yang diamanahkan rakyat serta negara perlu menguatkuasakan konsep 'tiada lagi pembiayaan kepada projek infrastruktur berlebihan'," katanya.

Berita Harian X