Isnin, 14 Februari 2022 | 7:50pm
Maszlee menerima bendera PKR daripada Anwar pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit, Batu Pahat, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Maszlee menerima bendera PKR daripada Anwar pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit, Batu Pahat, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN

PRN Johor: Maszlee diumum calon PH DUN Layang-Layang

BATU PAHAT: Bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang baru menyertai PKR kira-kira tiga bulan lalu, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Nama beliau diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat sini hari ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pengumuman calon-calon lain bagi zon berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat.

Maszlee berkata, beliau terharu dengan kepercayaan yang diberikan parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis PKR, Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.

"Namun saya dapati pihak parti memutuskan untuk saya turun bertanding demi menawan DUN Layang-Layang yang kita kalah dan juga untuk memastikan DUN-DUN lain juga kita dapat bantu. Apa sahaja tanggungjawaB atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang ada di Parlimen Simpang Renggam.

"Lagi pula DUN Layang-Layang dalam Parlimen Simpang Renggam," katanya yang menyertai PKR pada 27 November lalu dan menjadi calon keenam diumumkan bertanding mewakili PKR pada PRN Johor, bulan depan.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan, 42, diumumkan bertanding DUN Kempas, manakala Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim, 34, selaku muka baharu diletakkan sebagai calon DUN Pasir Raja.

Arthur Chiong Sen Sern, 32, pula dipertaruhkan di DUN Bukit Batu dan Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) lalu ditampilkan semula sebagai calon DUN Larkin dan penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan akan kekal mempertahankan kerusi berkenaan.

Berita Harian X