Isnin, 14 Februari 2022 | 7:40pm
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan nelayan Goh Hwa Kiang, 41, daripada tuduhan memiliki pistol dan cubaan membunuh pada 2018. - FOTO HIASAN/ARKIB NSTP
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan nelayan Goh Hwa Kiang, 41, daripada tuduhan memiliki pistol dan cubaan membunuh pada 2018. - FOTO HIASAN/ARKIB NSTP

Nelayan boleh didakwa semula kes miliki pistol, cubaan membunuh

PUTRAJAYA: Seorang nelayan mungkin didakwa semula atas kesalahan memiliki pistol dan cubaan membunuh selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam melepas dan membebaskan Goh Hwa Kiang, 41.

Hanipah yang bersidang bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Hwa Kiang daripada pertuduhan terbabit.

Hanipah berkata, dalam satu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan seseorang tertuduh tanpa mendengar kesemua keterangan daripada pihak pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, nelayan berkenaan kini boleh didakwa semula atas kesalahan terbabit

Hwa Kiang didakwa pada 29 September 2018 kerana memiliki pistol Smith and Wesson mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan juga atas cubaan membunuh K Kalidass di hadapan sebuah rumah di Batu ¾, Jalan Pantai Tanjung, Piandang, Daerah Kerian, Perak pada 2.15 pagi 19 Julai 2018.

Pada 13 Julai 2020, Mahkamah Sesyen menjatuhkan DNAA kepada nelayan itu selepas pendakwaan mengemukakan empat saksi termasuk pegawai penyiasat.

Dia kemudian memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi dan pada 24 Februari 2021, diberikan perintah dilepas dan dibebaskan, bermakna tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraaf Zubir berhujah bahawa pendakwaan tidak memohon DNAA terhadap Hwa Kiang di Mahkamah Sesyen, malah hanya memohon pengangguhan perbicaraan kerana saksi tidak boleh disepina berikutan perubahan pegawai penyiasat dan pegawai yang mengambil alih kes itu terlepas pandang perkara berkenaan.

Zaki Asyraf berkata, itulah pertama kali saksi pendakwaan tidak hadir di mahkamah, manakala peguam Hwa Kiang, Datuk Naran Singh berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah melepaskan dan membebaskan Goh daripada tuduhan itu kerana saksi pendakwaan utama telah memberikan keterangan. - BERNAMA

Berita Harian X