Isnin, 14 Februari 2022 | 7:25pm
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin. - NSTP/ARKIB
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin. - NSTP/ARKIB

JKNS nafi remaja maut kerana dos penggalak vaksin COVID-19

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan tular di aplikasi WhatsApp, kononnya seorang remaja meninggal dunia disebabkan dos penggalak COVID-19 kerana pesakit itu tidak pernah mengambil suntikan ketiga pelalian berkenaan.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin dalam kenyataan hari ni menegaskan, pihaknya telah membuat siasatan segera berhubung dakwaan terbabit yang mengaitkan Hospital Tuaran dan mendapati ia sebenarnya palsu.

"Siasatan mendapati pesakit meninggal dunia pada 12 Februari lalu, punca sebenar kematian disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat, bukannya disebabkan dos penggalak vaksin COVID-19 seperti didakwa.

"Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga dan mereka menerima dengan baik penerangan mengenai punca kematian. Siasatan juga mendapati pesakit menerima dos pertama vaksin pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021. Ibu pesakit dan Hospital Tuaran mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos penggalak," katanya.

Sehubungan itu, Rose Nani berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari lalu menafikan kematian anaknya disebabkan dos penggalak vaksin COVID-19 selain menafikan ahli keluarganya membuat penularan dalam aplikasi Whatsapp mengenai kes dan dakwaan itu.

"Hospital Tuaran juga membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi terbabit oleh individu tidak bertanggungjawab. JKNS menggesa kepada semua rakyat Sabah agar tidak menyebarkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi yang lain.

"Tindakan terbabit bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi juga boleh mengancam privasi pesakit dan ahli keluarganya. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu berkenaan atas tindakan tidak bertanggungjawab. JKNS bersimpati derngan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X