Isnin, 14 Februari 2022 | 5:25pm

Sindiket seleweng diesel ditumpaskan

NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan sindiket kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi selepas dalam dua serbuan serentak, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil, berkata serbuan dilakukan ke atas sebuah premis dan stesen minyak di Jalan Klang Banting, Jenjarom Kuala Langat, Selangor.

Katanya, premis berkenaan disyaki dijadikan stor penyimpanan diesel haram dan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi, dipercayai dibeli dari stesen minyak.

"Stesen minyak dengan stor penyimpanan itu terletak dalam lingkungan lima kilometer.

"Serbuan diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Rosli Ismail, dilakukan pada jam 2.50 petang bersama 20 anggota KPDNHEP Putrajaya selepas risikan selama sebulan.

"Ketika serbuan, dua lori lima tan berkanvas didapati mengisi diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan ke dalam tangki yang diubah suai," katanya.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil (kiri) menunjukkan lori tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel bersubsidi. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil (kiri) menunjukkan lori tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel bersubsidi. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, serbuan ke atas premis disyaki stor itu mendapati pemindahan diesel dilakukan dari dua lori lima tan berkanvas lain disyaki daripada sindiket sama.

Katanya, semua barang kes disita merangkumi lori yang digunakan, diesel sebanyak 26,459 liter bernilai kira-kira RM56,888 selain alatan sambungan berupa hos, lima unit kompresor, dokumen berkaitan dan resit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM215,680.30.

Beliau berkata, lima individu warga tempatan berusia 25 hingga 50 tahun membabitkan pemandu lori dan seorang penjaga stor turut ditahan.

"Turut ditahan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 36 tahun yang mendakwa sebagai pemilik stesen minyak berkenaan untuk membantu siasatan.

"Siasat dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran dari stesen minyak ke tempat penyimpanan sehingga pembeli.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

"KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan oleh syarikat terbabit sehingga siasatan selesai," katanya.

Katanya, pihaknya masih mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit dan lokasi penjualan atau penghantaran diesel berkenaan.

Shamsul Nizam berkata, syarikat yang terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2011) (Akta 613).

"Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi," katanya.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil (dua dari kiri) menunjukkan peralatan yang dipercayai digunakan dalam penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan dua premis di Kuala Langat. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil (dua dari kiri) menunjukkan peralatan yang dipercayai digunakan dalam penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan dua premis di Kuala Langat. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X