Isnin, 14 Februari 2022 | 2:20pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid. - BERNAMA
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid. - BERNAMA

Tiada larangan wakil rakyat hadir ke Program Jualan Keluarga Malaysia

KUALA TERENGGANU: Kerajaan tidak menghalang wakil rakyat, termasuk daripada pembangkang untuk melakukan walkabout di lokasi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata kehadiran wakil rakyat di setiap lokasi PJKM di seluruh negara didapati banyak memanfaatkan pengunjung.

Katanya, wakil rakyat yang hadir melakukan walkabout ke lokasi PJKM didapati memberi subsidi pelbagai barangan termasuk ayam segar, telur, minyak masak dan beras kepada pengunjung.

"Walaupun harga pelbagai barangan dijual pada PJKM dikurangkan di antara 10 dan 20 peratus, kesediaan wakil rakyat memberi subsidi ketika hadir melakukan walkabout memanfaatkan pengunjung.

"Kita tidak pernah menghalang dan sentiasa mengalu-alukan wakil rakyat untuk hadir melakukan walkabout di semua tapak PJKM anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang sedang giat dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen," katanya kepada BH, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian ketika mengulas tanda tanya beberapa wakil rakyat yang bercadang untuk turut hadir ke PJKM yang diadakan di kawasan Parlimen di seluruh negara.

Beliau berkata, KPDNHEP sentiasa mengalu-alukan kehadiran wakil rakyat dan pemimpin masyarakat untuk bersama rakyat pada PJKM yang sedang giat diadakan bertujuan mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan susulan kenaikan harga barangan.

Bagaimanapun, katanya, wakil rakyat perlu mematuhi prosedur ditetapkan termasuk tidak boleh menyampaikan ucapan dan merasmikan program.

"Berdasarkan laporan, kita dapati ada wakil rakyat yang hadir melakukan walkabout menggunakan peruntukan memberi subsidi pelbagai barangan keperluan asas termasuk telur, ayam segar, beras, minyak masak dan tepung gandum," katanya.

Mengenai program PJKM, Rosol berkata, sehingga Rabu lalu, sebanyak 637 program sudah dilaksanakan di 214 kawasan Parlimen di seluruh negara.

"PJKM diadakan dihadiri lebih sejuta pengunjung dan hasil jualan diperoleh peniaga yang menyertai program itu adalah sebanyak RM20.2 juta," katanya.

Berita Harian X