Ahad, 13 Februari 2022 | 5:45pm
 Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet

Lapor jika ada bukti kes eksploitasi seksual kanak-kanak, remaja bawah umur

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tampil mengemukakan laporan polis dengan bukti yang boleh membantu proses siasatan jika berdepan atau mengesan kes eksploitasi seksual membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun menerusi pelbagai aplikasi laman sembang.

Jabatan Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), berkata tindakan itu penting memandangkan komunikasi melalui aplikasi seperti WhatsApp dan WeChat adalah tertutup dan berbentuk dua hala.

Katanya, lebih menyukarkan adalah penyedia perkhidmatan termasuk WhatsApp dan WeChat tidak berpangkalan di Malaysia dan ia tidak dilesenkan.

"Antara cabaran utama adalah komunikasi dilakukan di platform ini tidak dapat dilihat mana-mana pihak lain, kecuali kedua-dua individu yang berada dalam komunikasi berkenaan.

"Untuk terus memerangi eksploitasi seksual kanak-kanak, kita bergantung kepada laporan pengguna untuk mengesan dan mencegah kes sebegini.

"Justeru, langkah terbaik adalah dengan melaporkan kandungan atau akaun yang terbabit secara terus kepada pihak mereka (penyedia perkhidmatan), untuk tindakan lanjut. Pengguna juga boleh menyekat atau melaporkan akaun individu atau kumpulan pada bila-bila masa," katanya kepada BH, hari ini.

Muka depan BH hari ini mendedahkan eksploitasi seksual membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun di negara ini dengan jumlah kes tertinggi membabitkan aplikasi sembang WhatsApp dan WeChat.

Rekod Bukit Aman menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada 1,160 keseluruhan kes seksual di negara ini yang dilaporkan kepada polis sejak 2017, membabitkan penggunaan dua platform berkenaan dengan jenayah rogol mencatatkan kes tertinggi iaitu 860 kes.

SKMM berkata, agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan bantuan mangsa atau wakil untuk tampil ke depan mengemukakan laporan polis berserta bukti yang boleh membantu siasatan.

"Dalam kebanyakan kes, tindakan akan diambil pihak PDRM sama ada di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 jika membabitkan mangsa bawah umur. SKMM akan memberi sokongan teknikal bagi siasatan berkenaan," katanya.

SKMM berkata, pihaknya akan meminta penyedia perkhidmatan laman sembang berkenaan memadamkan akaun individu yang terbabit dalam jenayah berkenaan berdasarkan bukti dikemukakan.

"Platform seperti WhatsApp tidak bertolak ansur terhadap eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak, malah mereka akan mengharamkan pengguna apabila menyedari terdapat kandungan mengeksploitasi atau membahayakan kanak-kanak disebarkan.

"Mereka juga melaporkan kandungan dan akaun yang melanggar (syarat ditetapkan) kepada Pusat Kebangsaan bagi Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi (NCMEC), yang merujuk kepada badan penguatkuasaan undang-undang secara global," katanya yang turut memberitahu kerjasama SKMM dengan PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) sentiasa diperkukuh bagi siasatan membabitkan kes antun seksual mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

SKMM turut menjalin kerjasama bersama Polis Antarabangsa (INTERPOL) terutama dalam menangani kes berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak.

"Bagi perkara membabitkan terperangkap dengan aktiviti sebegini, faktor utama bukanlah disebabkan kurang kepakaran tetapi lebih kepada masyarakat yang kerap senang terpedaya.

"Bagi memastikan masyarakat sentiasa berwaspada, aktiviti advokasi dilakukan dari semasa ke semasa baik secara sendiri melalui program 'Klik Dengan Bijak' SKMM atau bersama agensi lain seperti PDRM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)," katanya.

Berita Harian X