Sabtu, 12 Februari 2022 | 1:39pm
Razali (kanan) memeriksa mesin bantuan pernafasan untuk diserahkan kepada ahli keluarga Mohd Rozi di Kampung Binjai Rendah, Marang, hari ini. - NSTP/BAHAROM BAKAR.
Razali (kanan) memeriksa mesin bantuan pernafasan untuk diserahkan kepada ahli keluarga Mohd Rozi di Kampung Binjai Rendah, Marang, hari ini. - NSTP/BAHAROM BAKAR.

Muhyiddin tak tanding PRN Johor bukan bimbang tewas - Razali

KUALA TERENGGANU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU, Datuk Razali Idris menegaskan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan kerana bekas Perdana Menteri itu bimbang tewas.

Katanya, keputusan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah untuk menumpukan kerja keras ke seluruh Johor bagi memastikan parti lawan tidak berjaya membentuk kerajaan.

"Muhyiddin umum tidak bertanding bukan disebabkan bimbang tewas, sebaliknya bagi memberi laluan kepada muka baharu bertanding di DUN Gambir," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan mesin bantuan pernafasan bernilai RM4,500 kepada Mohd Rozi Semail, 60, di Kampung Binjai Rendah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) memutuskan hanya seorang calon daripada parti itu diketengahkan untuk bertanding, sama ada di kerusi DUN atau Parlimen.

"Kaedah hanya seorang calon disenaraikan bertanding sama ada di kerusi DUN atau Parlimen itu bagi membolehkan mereka memberi sepenuh tumpuan untuk pembangunan di kawasan diwakili," katanya.

Mengenai dakwaan kononnya Muhyiddin sengaja memberi alasan dijangkiti COVID-19 dan terpaksa kuarantin kerana takut berhadapan dengan UMNO di PRN Johor, Razali berkata, virus itu bukannya satu gurauan yang boleh dipermainkan kerana wabak itu digeruni seluruh dunia.

"Walaupun Muhyiddin kini sedang menjalani proses kuarantin, dia tetap bersemangat dengan memberi arahan dan mengatur strategi kepada semua pimpinan utama parti. Seluruh jentera pilihan raya PN kini sedang giat melaksanakan tanggungjawab seperti diarahkan Muhyiddin untuk memastikan semua calon PN, termasuk dari PAS menang kerusi yang ditandingi," katanya.

Berita Harian X