Rabu, 9 Februari 2022 | 9:18pm
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar sebelum ini hingga mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar sebelum ini hingga mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

JAS lengkapkan siasatan kes kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melengkapkan kertas siasatan pendakwaan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burung fasa 1 di Nibong Tebal, Pulau Pinang, susulan kebakaran di kawasan berkenaan sejak 12 Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi kesalahan pembakaran terbuka dan mengikut Seksyen 34A AKAS 1974 bagi pelanggaran syarat Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

"JAS juga meneruskan pemantauan dan pengukuran kualiti udara di kawasan berhampiran penduduk dengan menggunakan alat 'portable particulate analyser' di lokasi yang dikenal pasti.

"Selain itu, alat 'portable gas analyser' pula ditempatkan di kawasan sensitif bagi mengukur kehadiran gas toksik di sekitar tapak pelupusan sisa pepejal berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 5 petang 12 Januari lalu dan penduduk berhampiran diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Januari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati kira-kira 11 hektar tanah terbakar dan kerja pemadaman api dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah

Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya sudah menempatkan stesen pemantauan kualiti udara bergerak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, Nibong Tebal.

Beliau berkata, langkah itu dilakukan bagi mengukur status kualiti udara untuk mendapatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan.

"Kawasan kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal ini sudah padam sepenuhnya, namun lokasi masih berasap disebabkan proses penguraian timbunan sisa sampah yang menghasilkan gas metana yang mudah terbakar," katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, kejadian itu tidak dipengaruhi keadaan geologi tanah di kawasan berkenaan kerana ia bukan daripada jenis tanah gambut yang mudah terbakar.

"Berdasarkan kajian di bawah Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Mudah Terbakar untuk Mengatasi Jerebu di Malaysia oleh JAS tahun 2019 dan Peta Taburan Tanah Gambut oleh Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan Pulau Pinang tidak mempunyai kawasan tanah gambut yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran ini," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X