Rabu, 9 Februari 2022 | 8:43pm
Penternak menanggung kos makanan ayam yang semakin naik. - Foto hiasan FARIZUL HAFIZ AWANG
Penternak menanggung kos makanan ayam yang semakin naik. - Foto hiasan FARIZUL HAFIZ AWANG

Subsidi ayam hidup 60 sen

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penternak akan menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, dan 5 sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Katanya, subsidi selama empat bulan mulai Sabtu lalu hingga 4 Jun depan, dijangka membabitkan peruntukan RM528.52 juta.

"Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60 sekilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram, dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

"Bagi telur, Jemaah Menteri juga bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.05 setiap biji untuk semua jenis kategori," katanya hari ini.

Ketika ini, pengguna dan peniaga berdepan isu harga ayam yang mahal, serta kekurangan bekalan telur ayam yang serius di beberapa negeri.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, ia akan berkuat kuasa selepas berakhirnya SHMKM pada Jumaat lalu, dengan harga itu akan kekal sehingga 5 Jun depan, iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam segar dalam pasaran.

Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam segar di pasaran masa ini akan melebihi RM10 sekilogram.

Kelmarian, Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau, dilaporkan berkata masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran berlarutan sehingga Ramadan yang didakwa berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran penternak.

Beliau mendakwa penternak dan pengeluar mungkin memilih mengurangkan pengeluaran bagi menampung kos pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan akan terganggu.

Ronald berkata, pemberian subsidi itu bertujuan meringankan beban penternak yang menanggung peningkatan kos, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan.

Katanya, penternak antara lain menanggung beban peningkatan makanan ayam, yang merangkumi 70 peratus daripada kos pengeluaran, selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh.

"Ini bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan," katanya.

Pekerja kedai Koperasi Jaringan Muamalat Intergriti Selangor Berhad, Muhammad Umair Ahmad Zayadi, 19 menunjukkan harga telur ayam. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Pekerja kedai Koperasi Jaringan Muamalat Intergriti Selangor Berhad, Muhammad Umair Ahmad Zayadi, 19 menunjukkan harga telur ayam. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Berita Harian X