Isnin, 7 Februari 2022 | 12:40pm
Penduduk melakukan rutin harian seperti biasa di Kampung Kebun Baru berhampiran lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. - Foto NSTP/Danial Saad
Penduduk melakukan rutin harian seperti biasa di Kampung Kebun Baru berhampiran lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. - Foto NSTP/Danial Saad

Penduduk terjejas pencemaran udara dibenarkan pulang

NIBONG TEBAL: Penduduk Kampung Kebun Baru, di sini, yang diarah mengosongkan rumah mereka selepas berlaku pencemaran udara susulan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung pada 12 Januari lalu, dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing mulai hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan, memaklumkan kebenaran diberikan berdasarkan cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati kualiti udara di sekitar kawasan kampung itu di tahap semakin baik.

"Bagaimanapun, bagi penduduk Ladang Byram, mereka masih dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah dan pemantauan akan diteruskan oleh JAS sehingga bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh.

"Penduduk di sekitar daerah ini terus dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

"Sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat, dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran," katanya hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan penduduk di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing walaupun api kebakaran tapak pelupusan sampah sudah dipadam sepenuhnya pada 31 Januari lalu.

Ia berikutan keadaan yang masih tidak selamat bagi penduduk pulang ke rumah kerana ancaman pencemaran udara dan kehadiran gas yang boleh menjejaskan kesihatan.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah terbabit dilaporkan terbakar seluas 11.3 hektar hingga menyebabkan kualiti udara di situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Kebakaran turut menyebabkan kawasan itu diisytihar sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berita Harian X