Ahad, 6 Februari 2022 | 5:52pm
- Foto hiasan/BERNAMA
- Foto hiasan/BERNAMA

'Perlu lebih serius bendung COVID-19 di kampus'

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) memohon pihak pengurusan universiti mengambil langkah sewajarnya membabitkan keselamatan dan kebajikan mahasiswa menjelang minggu peperiksaan.

Presiden KMUM, Wan Afiq Ikhwan, mendakwa peningkatan kes COVID-19 yang drastik di kampus berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan universiti membendung penularan wabak COVID-19 di kampus.

Katanya, beberapa cadangan dikemukakan antaranya peperiksaan akhir dijalankan secara dalam talian bagi mengelak perhimpunan ramai, sekali gus mendedahkan risiko jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan mahasiswa.

"Mahasiswa yang dikuarantin perlu diberi kebebasan membuat keputusan menerus atau menangguhkan peperiksaan berikutan faktor tekanan kebimbangan dijangkiti COVID-19, ditambah pula tekanan peperiksaan.

"Selain itu, KMUM menggesa pihak pengurusan universiti mengecualikan caj yuran kolej bagi dua kategori pelajar iaitu mahasiswa yang menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari selepas peperiksaan akhir tamat sebelum bertolak pulang dan mahasiswa yang menangguhkan peperiksaan akhir akibat bergejala atau dikesan positif dan bakal menduduki 'Special Examination' Grade 1.

"Pengecualian caj bagi kategori kedua adalah sehingga tamat peperiksaan Gred 1, jika mereka memutuskan untuk berada di kolej kediaman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Afiq berkata, KMUM mencadangkan jika peperiksaan masih dilakukan secara fizikal, pelajar diwajibkan menjalani ujian calitan sebelum memasuki dewan peperiksaan dan kos ujian ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.

Katanya, status terkini COVID-19 di kampus mengikut kolej kediaman perlu dihebahkan kepada pelajar sebagai peringatan mematuhi SOP ditetapkan.

"Saringan ujian calitan COVID-19 juga perlu dilakukan kepada pelajar berstatus kontak rapat pada hari pertama dan hari terakhir kuarantin," katanya.

Berita Harian X