Ahad, 6 Februari 2022 | 4:38pm
Suasana orang ramai membeli barangan keperluan di Pasar Chow Kit pada hujung minggu. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Suasana orang ramai membeli barangan keperluan di Pasar Chow Kit pada hujung minggu. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Hapus AP produk makanan - FOMCA

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan kerajaan menghapuskan permit import (AP) terutama bagi barangan makanan dalam usaha mengawal kenaikan harga.

Presidennya, Prof Datuk Dr N Marimuthu, berkata penghapusan AP dapat mengelak monopoli kerana hanya peniaga atau pengusaha yang mempunyai AP boleh membawa masuk sesuatu barangan dan mengawal harganya.

]

"Langkah menghapuskan AP akan memberi peluang ramai peniaga menjual lebih banyak barangan dan mengelak monopoli, sekali gus membendung isu kenaikan harga," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, menerusi sebuah portal berita meminta pengguna bersiap sedia bagi menghadapi kenaikan harga sehingga 10 peratus jika kos makanan dan barangan bukan makanan tidak terkawal.

Tinjauan FMM pada Disember tahun lalu berkenaan impak kenaikan harga bagi barangan seperti roti, telur, lampin dan sabun pakaian mendapati, sebahagian besar responden bercadang menyalurkan kos kepada pengguna melainkan ada tindakan bagi membendung kenaikan harga.

Marimuthu berkata, kerajaan perlu mempunyai pelan jangka panjang berkenaan isu harga barangan.

Ketika ini, katanya, kerajaan hanya mengambil tindakan jika wujud aduan.

Sebagai contoh, katanya, tindakan kerajaan ketika ini ialah susulan berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket dan telur.

"Ini menunjukkan ada kelemahan dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Marimuthu berkata, kerajaan perlu mencontohi tindakan FMM yang membuat perancangan selain dapat menjangkakan isu harga naik sejak tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan terus membantu mengatasi masalah kenaikan harga barang dan berusaha menjaga kepentingan rakyat.

Berita Harian X