Sabtu, 5 Februari 2022 | 9:03pm
Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (tengah) menyempurnakan gimik perasmian penutup Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) di Jeram Mengaji Agro Resort, Pasir Puteh, hari ini. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (tengah) menyempurnakan gimik perasmian penutup Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) di Jeram Mengaji Agro Resort, Pasir Puteh, hari ini. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS

Amaran keras MAFI kepada peniaga ayam, telur ayam

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran keras kepada peruncit dan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan kekurangan bekalan ayam dan telur di pasaran ketika ini untuk menaikkan harga makanan berkenaan.

Timbalan Menteri II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata kekurangan ayam dan telur ayam di pasaran ketika ini adalah kerana permintaan yang tinggi dan kerajaan dalam usaha mempercepatkan kelulusan mengeluarkan permit import (AP) bagi membawa masuk ayam segar dari luar bagi mengatasi isu berkenaan.

"Jadi saya minta tiada penggiat industri yang cuba-cuba 'bermain di luar padang', nak mainkan harga atau mengurangkan bekalan bahan ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi berkata, MAFI tidak akan berkompromi dengan pihak yang memanipulasi harga atau bekalan khususnya yang membabitkan makanan asasi rakyat negara ini dengan mereka meletakkan harga melampau atau terbabit dalam kegiatan salah guna bekalan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menegaskan tindakan itu diambil bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga atau tidak mendapat keperluan asas khususnya ketika musim perayaan, beliau yakin isu berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat walaupun mengambil masa.

Dalam perkembangan lain, Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan juga sentiasa membela rakyat termasuk petani yang berdepan kerugian akibat musim kemarau.

"Sudah disediakan tabung bantuan khas bagi menghadapi pelbagai musibah. Kita sentiasa membuat andaian bencana, sudah ada bentuk bantuan yang kita akan salurkan walaupun tidak mampu menanggung semua kerugian. Kerajaan sentiasa membantu sebaik mungkin," katanya.

Berita Harian X