Sabtu, 5 Februari 2022 | 6:45pm
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Zamri Mat Zain (dua kiri) merasmikan kempen kesedaran kesihatan Comeback Stronger di bawah projek Zahran Medical Tourism di Bangi Resort Hotel. Turut mengiringi, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Datuk Mohd Nafidz Abd Razak (kanan). - Foto ASYRAF HAMZAH
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Zamri Mat Zain (dua kiri) merasmikan kempen kesedaran kesihatan Comeback Stronger di bawah projek Zahran Medical Tourism di Bangi Resort Hotel. Turut mengiringi, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Datuk Mohd Nafidz Abd Razak (kanan). - Foto ASYRAF HAMZAH

Kempen Comeback Stronger KMZ bantu perkasa pelancongan kesihatan

BANGI: Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ), pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan tampil dengan kempen 'Comeback Stronger' bermatlamat bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi merangsang semula pertumbuhan sektor pelancongan menerusi pelancongan kesihatan.

Ahli Lembaga Pengarah KMZ, Datuk Mohd Nafidz Abd Razak, berkata pihaknya menyasarkan lebih banyak kolaborasi bersama hotel di seluruh negara dengan menawarkan pakej hotel bersama pelbagai kemudahan pemeriksaan dan rawatan kesihatan.

"KMZ ingin menjadi pihak yang pertama membantu sektor paling terkesan susulan pandemik COVID-19, iaitu sektor pelancongan, mengambil kira dahulu, ia penyumbang utama kepada pendapatan negara.

"Melalui kempen ini, kami berkolaborasi dengan hotel, pelancong tempatan dan luar negara supaya mereka boleh bercuti sambil menjaga kesihatan. Antara kemudahan disediakan termasuk saringan COVID-19, suntikan vaksinasi COVID-19 dan kuarantin stesen," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kempen Comeback Stronger di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, Timbalan Pengarah Pusat Pengimejan dan Diagnostik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Suriani Ismail dan Pengurus Perhubungan Bangi Resort Hotel, Alia Ab Halim.

Mohd Nafidz berkata, KMZ menganggarkan mampu membawa lebih ramai pelancong asing ke Malaysia melalui pelbagai kemudahan kesihatan ditawarkan, sekali gus membangunkan semula sektor pelancongan kesihatan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

"Pada 2019, Malaysia menjadi destinasi pilihan untuk rawatan kesihatan berikutan kemudahan akses, kualiti perkhidmatan dan mampu milik dengan 60 peratus daripada pelancong adalah dari Indonesia, diikuti China, India dan rantau Asia Tenggara.

"Antara tarikan yang ditampilkan melalui kempen ini adalah klinik bergerak di hotel," katanya.

Beliau turut memberitahu, selain berkolaborasi dengan hotel tempatan, kerjasama turut dijalin dengan Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear, UPM dalam misi memperkenalkan pemeriksaan pelbagai sistem tubuh merangkumi prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), Ultrasound dan mesin Imbasan Tomografi Pembebasan Positron-Tomografi Berkomputer (PET-CT).

Pada acara sama, satu memorandum persefahaman (MoU) di antara KMZ dan Bangi Resort Hotel turut ditandatangani iaitu kolaborasi pertama KMZ dengan hotel tempatan bagi merancakkan kempen Comeback Stronger.

Berita Harian X