Sabtu, 5 Februari 2022 | 3:48pm

Perlu kemuka stok bekalan ayam, telur secara mingguan - KPDNHEP

KUALA BERANG: Pembekal ayam dan telur di seluruh negara perlu mengemukakan stok bekalan secara mingguan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan itu, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata laporan stok bekalan secara mingguan itu bertujuan memudahkan alternatif dilakukan, termasuk menambah sekiranya berlaku pengurangan bekalan.

Kaedah itu juga, katanya, lebih memudahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan, termasuk menambah bekalan sekiranya berlaku pengurangan pada minggu lain.

"Isu kekurangan bekalan ayam dan telur dijangka selesai akhir bulan ini dan bagi memastikan tidak timbul lagi masalah itu, pembekal diminta untuk mengemukakan stok bekalan secara mingguan kepada KPDNHEP.

"Mengikut rekod, rakyat negara ini menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan," katanya selepas melakukan pemantauan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Dataran Kuala Ping, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Mengenai bekalan ayam pula, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, rakyat negara ini menggunakan kira-kira dua juta ekor ayam sehari atau 60 juta sebulan.

"Kekurangan bekalan ayam berlaku disebabkan peladang dan pemborong masih belum beroperasi sepenuhnya, selain masalah logistik disebabkan cuti Tahun Baharu Cina," katanya.

Mengenai perlanjutan tempoh Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), Rosol berkata, hanya ayam dan telur terbabit dengan perlanjutan kawalan harga yang bermula hari ini hingga 5 Jun depan.

"Harga maksimum runcit ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen sekilogram (kg) daripada harga siling ditetapkan RM9.10kg.

"Harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan SHMKM ditetapkan sebelum ini," katanya.

Mengenai dakwaan berlaku kenaikan harga telur, Rosol berkata, siasatan mendapati kenaikan harga hanya membabitkan telur ayam kampung dan telur itik.

Rosol (kiri) membungkus ayam segar yang ditempah pelanggan pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Kuala Ping, Kuala Berang, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Rosol (kiri) membungkus ayam segar yang ditempah pelanggan pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Kuala Ping, Kuala Berang, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X