Sabtu, 5 Februari 2022 | 3:38pm
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar dalam kejadian 12 Januari lalu. - Foto Ihsan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh.
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar dalam kejadian 12 Januari lalu. - Foto Ihsan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Penduduk berhampiran tapak pelupusan Pulau Burung belum dibenarkan pulang

NIBONG TEBAL: Penduduk di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terbabit dengan arahan berpindah susulan asap toksik kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini, masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing walaupun api sudah dipadam sepenuhnya Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) yang juga Pegawai Daerah SPS, Marlia Mohd Belia berkata ia berikutan keadaan yang masih tidak selamat bagi pulang ke rumah kerana ancaman pencemaran udara dan kehadiran gas yang boleh menjejaskan kesihatan.

Beliau berkata, berdasarkan semakan dan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri di tapak pelupusan sampah dan kawasan sekitarnya, mendapati udara di situ masih tercemar dan terdapat gas.

"Justeru, Jawatankuasa Bencana Daerah SPS sudah memutuskan bahawa penduduk tidak dibenarkan pulang begitu sahaja dan akan terus mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah," katanya pada sidang media di sini yang dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun, Marlia berkata, pihaknya difahamkan bahawa keluarga yang berpindah ke rumah saudara mereka sebelum ini, sudah pulang ke rumah dan pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah kehendak mereka sendiri.

"Bagi penduduk yang berada di PPS, mereka masih tidak dibenarkan pulang ke rumah. Kawasan tapak pelupusan sampah masih diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1," katanya.

Terdahulu, dilaporkan kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah itu diarah berpindah selepas asap toksik di tapak berkenaan menyebabkan pencemaran udara di kedua-dua kampung.

Daripada jumlah itu, 38 keluarga berasal dari Ladang Byram manakala 52 keluarga dari Kampung Kebun Baru.

Seramai 44 orang daripada 10 keluarga sudah menetap di PPS sejak 16 Januari lalu manakala yang lain berpindah ke rumah saudara mereka.

Berita Harian X