Sabtu, 5 Februari 2022 | 2:18pm
Rosol (kiri) sedang membungkus ayam segar ditempah pelanggan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Kuala Ping, Kuala Berang, hari ini. - FOTO BAHAROM BAKAR
Rosol (kiri) sedang membungkus ayam segar ditempah pelanggan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Kuala Ping, Kuala Berang, hari ini. - FOTO BAHAROM BAKAR

PRN Johor: BERSATU masih runding pengagihan kerusi

KUALA BERANG: Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) masih dalam perundingan dengan parti gabungannya di Perikatan Nasional (PN) untuk pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU, Datuk Rosol Wahid berkata, perundingan dengan semua presiden parti dalam gabungan PN masih dijalankan dan calon akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, calon yang akan ditonjolkan oleh PN bebas daripada kluster mahkamah dan akan diterima pengundi.

"Setakat ini perundingan antara semua presiden parti masih berjalan, termasuk jumlah kerusi yang akan ditandingi parti gabungan PN," katanya kepada media pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), di Dataran Kuala Ping, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Mengulas lanjut, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, perundingan awal antara semua presiden parti dalam PN memutuskan pengagihan kerusi akan dilakukan secara adil dan mengikut kehendak pengundi.

"Jumlah kerusi untuk PAS, BERSATU dan parti lain dalam PN untuk PRN Johor akan dimuktamadkan selepas perundingan selesai dilakukan.

"Calon yang akan ditonjolkan oleh PN untuk bertanding di semua kerusi pada PRN Johor mampu membawa inspirasi dan memenuhi kehendak rakyat negeri itu," katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, semua calon yang akan dikemukakan semua parti dalam PN untuk bertanding pada PRN Johor akan melalui proses saringan terutama bebas dari gejala rasuah dan jenayah.

"Proses saringan semua calon yang akan dikemukakan parti dalam PN akan dilakukan bagi memastikan mereka bebas daripada kluster mahkamah dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X