Sabtu, 5 Februari 2022 | 1:33pm

Tindakan kepada operator tapak pelupusan sampah terbakar diketahui minggu depan

NIBONG TEBAL: Tindakan terhadap operator yang menguruskan tapak pelupusan sampah Pulau Burung sehingga menyebabkan kebakaran dalam kejadian pertengahan bulan lalu akan diketahui selepas satu mesyuarat yang akan diadakan minggu depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) akan membentangkan laporan kejadian itu dalam mesyuarat EXCO untuk menggariskan langkah dicadangkan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sampah itu.

Katanya, selepas pembentangan laporan itu satu penilaian akan dibuat, sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Dalam pembentangan itu antaranya melihat kepada langkah yang dicadangkan, termasuk prestasi syarikat dalam menguruskan tapak pelupusan sampah sejak mereka dilantik pada 2012.

"Isu konsensi akan tertakluk kepada laporan terbabit seterusnya penilaian akan dibuat dan satu keputusan akan diambil," katanya pada sidang media perkembangan terkini situasi kebakaran tapak pelupusan sampah itu di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

Kon Yeow ketika sidang media mengenai kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Pusat Media Dewan Serbaguna Jawi, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Kon Yeow ketika sidang media mengenai kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Pusat Media Dewan Serbaguna Jawi, hari ini. - NSTP/Danial Saad

Kon Yeow berkata, sehingga kini kebakaran sudah dikawal dan dipadamkan sepenuhnya, namun kerja susulan di tapak pelupusan sampah itu masih berlangsung.

"Kerja susulan ini terdiri aktiviti membuat 'firebreak' dengan penutupan menggunakan tanah merah bagi memastikan tiada kebakaran lain akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya mendapati terdapat trend penurunan dari segi kepekatan gas yang diukur di sekitar tapak pelupusan sampah.

"Kita dapati kualiti udara bertambah baik selepas beberapa hari hujan dan terdapat penurunan dari segi kepekatan gas, manakala stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dibuka khas di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram menunjukkan bacaan IPU sederhana.

"Mengikut laporan Jabatan Meteorologi juga menjangkakan berlaku hujan dalam tempoh beberapa hari dan kita harap kualiti akan bertambah baik lagi, sekali gus memperoleh tahap yang dikehendaki," katanya.

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar dalam kejadian 12 Januari lalu. - Foto Ihsan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh.
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar dalam kejadian 12 Januari lalu. - Foto Ihsan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung dilaporkan terbakar seluas 11.3 hektar sehingga menyebabkan kualiti udara di kawasan sekitar terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan orang ramai.

Kebakaran itu juga menyebabkan kawasan berkenaan diisytihar sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berikutan itu, penduduk di dua kampung berdekatan tapak pelupusan sampah diarah mengosongkan kediaman mereka dan berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung seluas 11.3 hektar yang terbakar pada 12 Januari lalu sehingga menjejaskan kualiti udara kepada penduduk berhampiran. - NSTP/Danial Saad
Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung seluas 11.3 hektar yang terbakar pada 12 Januari lalu sehingga menjejaskan kualiti udara kepada penduduk berhampiran. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X