Sabtu, 5 Februari 2022 | 12:11pm

3,000 biji telur ayam licin dalam setengah jam

KUALA BERANG: Sebanyak 3,000 biji telur ayam habis terjual dalam tempoh setengah jam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan di Kampung Kuala Ping, di sini, hari ini.

Telur gred C itu dijual pada harga RM11.50 sepapan mengandungi 30 biji.

Selain telur, sebanyak satu metrik tan ayam segar turut dijual pada harga RM6.20 sekilogram (kg), manakala 150kg daging dijual pada harga RM25kg juga menjadi rebutan pengunjung di PJKM.

Harga ayam segar ditetapkan RM8.20kg, tetapi diberi subsidi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna, Datuk Rosol Wahid sebanyak RM2, manakala daging pula diberi subsidi RM6kg menjadikan harganya RM25kg.

Tinjauan di PJKM mendapati, lebih 1,000 pengunjung menyerbu tapak jualan kira-kira jam 7.30 pagi tadi dan gerai telur, ayam segar dan daging antara yang menjadi tumpuan.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, penjualan telur dihadkan hanya 30 biji bagi setiap pengunjung, manakala ayam segar pula hanya dua ekor dan satu kilogram daging.

"Jualan telur, ayam segar dan daging terpaksa dihadkan bagi memberi keadilan kepada pengunjung.

"PJKM peringkat Parlimen Hulu Terengganu akan diadakan di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Manir selama dua hari pada Sabtu depan," katanya.

Rosol (kiri) melihat telur ayam yang dibeli pengunjung pada PJKM di Kuala Ping, Kuala Berang, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Rosol (kiri) melihat telur ayam yang dibeli pengunjung pada PJKM di Kuala Ping, Kuala Berang, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X