Selasa, 1 Februari 2022 | 8:36am

JPJ kesan dalang jual lesen terbang

KOTA BHARU: Isu kegiatan penjualan lesen terbang yang didakwa berlaku dalam kalangan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disyaki didalangi sindiket scammer.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, berkata pihaknya sedang mengesan sindiket yang dianggap bukan perkara baharu, sebaliknya dipercayai sudah wujud sejak sekian lama.

"Ini semua angkara scammer, ia bukan isu baharu. Apabila ada kes, kita akan cuba menyelesaikannya dan kita juga membuat penyamaran dengan membayar kepada sindiket bagi mengetahui operasi mereka.

"Kami membuat semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat domain bagi mengesan pelokasi sumber seragam (URL) yang digunakan scammer dan itu penyelesaian terakhir kita patut buat jika membabitkan penipuan dalam talian," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir dalam operasi penguatkuasaan sempena musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 di Terminal Bas Lembah Sireh yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Zailani berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pempengaruh atau 'influencer' media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik dengan menuduh anggota JPJ terbabit secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram.

Beliau berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan terhadap tuduhan itu yang turut menyatakan anggotanya menerima wang sogokan calon biarpun tidak melepasi ujian ditetapkan di institut memandu.

Sambil mengalu-alukan siasatan akan dijalankan, Zailani berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan kesalahan membabitkan integriti.

"Sebelum ini pun SPRM sudah mengambil tindakan kepada anggota JPJ yang terbabit dengan salah laku, salah guna kuasa, tidak berintegriti dan lain-lain.

"Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ke atas anggota saya dan tidak akan melindungi mahupun berkompromi untuk disiasat SPRM atau polis jika berlaku sebarang salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegiriti," katanya.

Zailani (kiri) diiringi Shafien (dua kanan) beramah mesra dengan penumpang ketika pemantauan operasi khas penguatkuasaan sempena cuti Tahun Baharu Cina 2022 di Terminal Bas Lembah Sireh, malam tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Zailani (kiri) diiringi Shafien (dua kanan) beramah mesra dengan penumpang ketika pemantauan operasi khas penguatkuasaan sempena cuti Tahun Baharu Cina 2022 di Terminal Bas Lembah Sireh, malam tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X