NIBONG TEBAL: Setakat hari ini 98 peratus daripada kebakaran seluas 11.3 hektar di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sudah dapat dipadamkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh.
Usaha memadam kebakaran di tapak itu sejak 12 Januari lalu akan diteruskan dengan kerja mengepam air dan menutup dengan tanah sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.
"Kerja-kerja pemadaman itu diteruskan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan PLB Terang Sdn Bhd," katanya.
Katanya, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah masih beroperasi untuk menempatkan penduduk dari Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram yang terjejas.
Dalam tinjauan hari ini, penduduk didapati sudah kembali ke kediaman masing-masing berikutan sudah lama meninggalkan rumah mereka.
Selain itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan berkenaan juga berada di tahap sederhana.
Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah berkenaan dilaporkan terbakar sehingga menyebabkan kualiti udara terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.
Kebakaran berkenaan menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1.