Isnin, 31 Januari 2022 | 8:17pm
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram, berhampiran lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram, berhampiran lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD

Kebakaran lebih 11 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung dipadam

NIBONG TEBAL: Lebih 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Jalan Byram, di sini yang terbakar sejak 12 Januari lalu, akhirnya hampir berjaya dipadamkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata berdasarkan perkembangan operasi memadam kebakaran di kawasan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Seberang Perai Selatan (SPS) mendapati 98 peratus daripada kawasan terbabit telah berjaya dipadamkan hari ini.

"Selepas hampir tiga minggu operasi pemadaman dijalankan di kawasan tapak pelupusan sampah itu, hari ini kami dimaklumkan 98 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan dengan hanya dua peratus lagi yang masih terbakar membabitkan Sektor 5.

"Berdasarkan maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana SPS, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dan api turut dipadamkan. Namun saya dimaklumkan operasi masih diteruskan dengan kerja-kerja pengepaman air dan penutupan (penimbusan) dengan tanah di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kerja-kerja pemadaman yang sebelum ini dijalankan oleh bomba dibantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela akan diteruskan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta syarikat pengurusan di situ, PLB Terang Sdn Bhd.

Booh Poh berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan penduduk dipindahkan dari kawasan berhampiran kebakaran tapak pelupusan sampah itu dan Pusat Kawalan Operasi Bencana sebagai pusat memantau keadaan di sana, akan terus beroperasi.

Katanya, seramai 44 orang daripada 10 keluarga di situ ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah sejak 16 Januari lalu akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kualiti udara di kawasan berkenaan disahkan selamat.

"Hari ini bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram mencatatkan tahap sederhana iaitu 79, namun angkanya lebih baik berbanding 88 semalam," katanya.

Kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 petang pada 12 Januari lalu dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke PPS, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Januari, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan terbabit lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan air serta tambakan tanah. - BERNAMA

Berita Harian X