Ahad, 30 Januari 2022 | 3:29pm
Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Kualiti udara sederhana

NIBONG TEBAL: Kualiti udara di sekitar tapak pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini yang dilaporkan tidak sihat semalam, beransur pulih dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan pada paras sederhana, iaitu bawah 100.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata bacaan IPU di stesen sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram kini menunjukkan di paras sederhana, namun masih tinggi berbanding stesen-stesen IPU lain di negeri ini.

Katanya, bacaan IPU di Stesen SJKT Ladang Byram semalam dipengaruhi habuk dari kebakaran dan juga habuk dari penggunaan tanah untuk menimbus kawasan terbakar serta lori keluar masuk ke kawasan berkenaan.

"Habuk tanah ini pun boleh menyumbang kepada bacaan IPU sebab parameter dominan yang dicerap oleh stesen ialah PM2.5 ( habuk halus)," katanya di sini, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, JAS juga masih memantau menggunakan peralatan pengukur gas dikenali 'CEREX' di SJKT Ladang Byram dan Surau Kampung Kebun Baru untuk pemantauan gas selama 24 jam.

Beliau berkata, empat stesen utama yang mengukur bacaan IPU di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini didapati berlaku peningkatan dari segi bacaan IPU dipercayai didorong faktor luar.

"Kita dapati keseluruhan stesen utama IPU ada peningkatan bacaan yang ada kaitan dengan pengaruh luar, iaitu dipercayai sumbangan jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran hutan di Kemboja ketika ini," katanya.

Tinjauan hari ini mendapati jerebu sederhana juga mula dilihat melanda Pulau Pinang apabila beberapa kawasan berada dengan jarak penglihatan yang agak terhad.

Sementara itu, tapak pelupusan sampah yang terbakar sudah berada dalam keadaan baik apabila satu daripada dua kebakaran hampir selesai dipadamkan.

Perkara berkenaan dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh, hari ini.

Kelmarin, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan memaklumkan ketika ini sektor 1, 2 dan 4 sudah dipadamkan sepenuhnya, manakala kerja pemadaman masih dilakukan di sektor 3 dan 5 dengan menggunakan pelbagai kaedah dan alat pemadaman.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung dilaporkan terbakar hingga menyebabkan kualiti udara dekat situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Berikutan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi memindahkan penduduk dari Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram yang terjejas.

Kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membantu memadamkan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membantu memadamkan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Berita Harian X