Sabtu, 29 Januari 2022 | 5:27pm
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kiri) melayan orang ramai yang membeli ayam pada PJKM di Bukit Tunggal. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kiri) melayan orang ramai yang membeli ayam pada PJKM di Bukit Tunggal. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR

Ayam segar licin dalam 30 minit

KUALA NERUS: Tidak sampai setengah jam, sebanyak 380 kilogram (kg) ayam segar, licin dibeli pengguna.

Ini berikutan ayam segar itu dijual pada harga RM6 sekilogram, berbanding harga semasa RM8.40 sekilogram.

Harga istimewa itu berikutan pemberian subsidi sebanyak RM2.40 sekilogram oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ayam segar itu dijual pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Bukit Tunggal, di sini, hari ini.

PJKM kali ketiga diadakan di kawasan Parlimen Kuala Nerus itu dibuka kira-kira jam 9 pagi.

Gerai jualan ayam segar menjadi tumpuan utama pengunjung menyebabkan penganjur terpaksa mengehadkan jualan hanya seekor ayam seberat kira-kira dua kilogram, seorang.

Berikutan sambutan menggalakkan itu, Mohd Khairuddin menyarankan supaya PJKM diteruskan hingga Aidilfitri.

"PJKM antara langkah kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat yang masih terkesan susulan penularan pandemik COVID-19.

"Saya menyarankan semua Ahli Parlimen membuat usul kepada KPDNHEP supaya PJKM diteruskan hingga Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP negeri, Shahruddin Mohd Kia, berkata sebanyak 20 lokasi jualan sudah dijalankan di seluruh kawasan parlimen di negeri itu, dengan nilaian jualan diperoleh peserta berjumlah RM893,664.

Berita Harian X