Sabtu, 29 Januari 2022 | 3:37pm
Sebuah treler terbabas di Kilometer 302.4 di Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dari Tapah ke Gopeng di sini pagi tadi hingga mengakibatkan kesesakan lebih 40 kilometer. - Foto ihsan IPD Kampar
Sebuah treler terbabas di Kilometer 302.4 di Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dari Tapah ke Gopeng di sini pagi tadi hingga mengakibatkan kesesakan lebih 40 kilometer. - Foto ihsan IPD Kampar

Treler terbabas cetus kesesakan lebih 40km

KAMPAR: Kesesakan sejauh lebih 40 kilometer (km) dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Tapah ke Gopeng pagi tadi berikutan sebuah treler terbabas di Kilometer 302.4 lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata kemalangan berpunca daripada treler terbabas di lorong kanan dan dalam masa sama lori bergesel dengan treler terbabit.

Beliau berkata anggota peronda yang sedang menjalankan tugas menerima satu panggilan kira-kira 8.54 pagi yang memaklumkan kejadian itu.

"Sebaik sampai di lokasi didapati kemalangan membabitkan treler dan lori," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nazri berkata, pemandu treler yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh ambulans.

Menurutnya, susulan kejadian itu, hanya lorong kiri dan lorong kecemasan dibuka untuk laluan.

"Laluan dari lokasi kemalangan menjadi sesak sejauh kira-kira 40km dan banyak kenderaan awam masuk ke Tapah dan menggunakan jalan lama," katanya.

Berita Harian X