Sabtu, 29 Januari 2022 | 10:28am
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

MoU bersama Arab Saudi tingkat eksport sawit Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengimport dan pengedar minyak masak terbesar di Arab Saudi yang dikenali sebagai Savola Group.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, MoU berkenaan diyakini mampu meningkatkan eksport minyak sawit ke rantau Arab dan sekitarnya.

Beliau berkata, kementeriannya turut bekerjasama untuk membina terminal tangki penyimpanan di Jeddah; menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport minyak sawit Malaysia dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit.

Katanya, cadangan itu adalah susulan pertemuannya dengan Ahli Lembaga Pengarah Savola Foods, Abdullah Rehaimi dan Ketua Penyumberan dan Penyumberan Strategik serta Bekalan di Savola Foods, Dr Ghazi J Al Sulaimani di Jeddah, baru baru ini.

"Dalam pertemuan itu, tiga kerjasama dikenal pasti untuk meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia bukan saja di Arab Saudi, tetapi juga di peringkat global," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida berkata, pihak pengurusan Savola bersetuju dengan cadangan berkenaan dengan beberapa syarat usaha sama yang adil bagi mewujudkan situasi menang-menang untuk semua pihak.

Beliau berkata, Arab Saudi dilihat sangat ideal untuk memenuhi pasaran sawit serantau terutama dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai serta wilayah Afrika Utara.

"Memiliki hab minyak sawit di Arab Saudi bukan saja akan meningkatkan jumlah penggunaan minyak sawit Malaysia di pasaran Saudi tetapi membolehkan pengeksport Malaysia memenuhi pasaran di rantau ini," katanya.

Mengenai kerjasama untuk mengadakan kempen mempromosikan kebaikan minyak sawit, Zuraida berkata, Savola bersetuju mengenainya dan perlu mewujudkan imej positif kebaikan minyak sawit.

Pada tahun lalu, eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia ke Arab Saudi berjumlah RM 1.71 bilion iaitu 30.7 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Berita Harian X