Khamis, 27 Januari 2022 | 5:52pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berucap di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berucap di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Yayasan MySDG platform selaras geran lebih baik

PUTRAJAYA: Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) yang dilancarkan hari ini, akan menjadi platform bagi menyelaras geran daripada pelbagai sumber dengan lebih baik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penubuhan yayasan itu yang juga hasil kerjasama kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, turut membabitkan komitmen peruntukan sebanyak RM20 juta oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, usaha itu akan turut merapatkan jurang pembiayaan melalui sumbangan sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau individu dari dalam dan luar negara yang dilaksanakan melalui kaedah lebih sistematik dan mampan serta memastikan ketelusan saluran menyumbang kepada agenda matlamat pembangunan mampan (SDG).

"Pelbagai dana ditubuhkan dan diuruskan pihak berkepentingan untuk mengatasi isu membabitkan pembasmian kemiskinan, kebajikan hidupan liar dan pemuliharaan alam sekitar serta biodiversiti.

"Namun dana itu sering kali berdepan isu kelangsungan termasuk kekangan kewangan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program serta projek dalam jangka panjang.

"Jadi, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan dana lebih selaras dan bersepadu bagi membiayai program serta projek di negara ini yang mungkin di luar cakupan peruntukan tahunan kerajaan," katanya pada majlis perasmian penubuhan Yayasan MySDG yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Yayasan itu akan ditadbir sebuah Lembaga Pemegang Amanah membabitkan individu disegani dalam kalangan sektor awam, penggiat industri, ketua masyarakat sivil dan pakar dalam bidang tertentu.

Tengku Zafrul berkata, lembaga berkenaan akan menetapkan keutamaan strategik terhadap dana itu berdasarkan tonggak SDG dan mendapatkan maklum balas serta input awam mengenai projek bakal dijalankan.

"Semua program dan projek di bawah dana ini juga tertakluk kepada proses pemilihan, pemantauan, pelaporan serta keperluan pengauditan yang teliti dan telus," katanya.

Beliau berkata, MySDG secara keseluruhan akan meyakinkan penderma menyumbang apabila dana mereka diuruskan mengikut amalan antarabangsa terbaik dan disokong tadbir urus yang baik.

"Mereka juga akan diberi jaminan bahawa sumbangan akan digunakan untuk membiayai program dan projek yang selaras dengan SDG," katanya.

Malah, Tengku Zafrul berkata, sejak menerajui Kementerian Kewangan (MOF) pada Mac 2020, beliau berusaha memastikan bajet tahunan negara dijajarkan sepenuhnya dengan SDG dan setiap program serta projek disasarkan kepada sekurang-kurangnya satu SDG.

Katanya, inisiatif itu bukan hanya membolehkan analisis bajet tahunan dibuat melalui lensa SDG, tetapi dapat mengenal pasti sebarang jurang pembiayaan merentasi semua SDG dan sumber diperlukan untuk menanganinya.

"Dalam menambah baik tahap ketelusan, MOF kini melaporkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan mengikut SDG dalam dokumen bajet disediakan.

"Malah, Malaysia adalah satu daripada hanya 10 negara di dunia yang berbuat demikian," katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, MOF turut mengambil beberapa langkah tambahan bagi mencapai SDG termasuk menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat pada April tahun lalu dengan lebihan langganan sebanyak 6.4 kali dan saiz terbitan ditingkatkan dari AS$1 bilion kepada AS$1.3 bilion.

Beliau berkata, permintaan tinggi itu turut memberi kadar hasil atau pulangan sangat kompetitif serta pengiktirafan global.

"Bagi tahun ini, seperti diumumkan dalam Bajet 2022, kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian sehingga RM10 bilion untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga bekerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa untuk memperkukuh keupayaan pembiayaan negara untuk memenuhi keperluan pembangunan SDG.

"Antara projek sedang dijalankan membabitkan kerjasama antara MOF dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi mewujudkan sebuah Rangka Kerja Pembiayaan Nasional Bersepadu untuk pembangunan lestari merangkumi platform untuk inovasi dan pembaharuan serta kerjasama awam dan swasta," katanya.

Beliau berkata, penggunaan kaedah Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) sejak 2013 ditingkatkan untuk menyokong penggunaan produk dan perkhidmatan yang mesra alam.

Katanya, GGP itu membabitkan 26 kementerian pada 2020 dengan anggaran nilai RM590 juta dan kerajaan akan memperluaskan inisiatif itu, manakala garis panduan ditambah baik untuk meningkatkan inisiatif hijau sektor awam.

"Kemajuan Malaysia berhubung pembiayaan mampan juga menjadi pemacu utama kepada agenda kelestarian.

"Antara inisiatif ke arah ini adalah penubuhan Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim atau JC3 yang diterajui Bank Negara (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti.

"Antara usaha JC3 termasuk pengenalan Taksonomi Berasaskan Prinsip dan pembangunan Taksonomi SRI serta pengemaskinian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia pada 2021," katanya.

Beliau berkata, semua garis panduan itu akan meningkatkan peranan institusi kewangan dan pasaran modal dalam pembiayaan ke arah kelestarian.

Katanya, usaha itu membantu sektor kewangan dan korporat mengintegrasikan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam penilaian pelaburan mereka. – BERNAMA

Berita Harian X