Khamis, 27 Januari 2022 | 4:08pm
Ismail Sabri hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG) di Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - foto BERNAMA
Ismail Sabri hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG) di Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - foto BERNAMA
Ismail Sabri hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG) di Kementerian Kewangan hari ini. - foto BERNAMA
Ismail Sabri hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG) di Kementerian Kewangan hari ini. - foto BERNAMA

SDG paksi tangani isu pembangunan tak lestari

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) adalah paksi penting dalam semua perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar.

Berucap pada majlis pelancaran Yayasan Dana Amanah SDG Malaysia (MySDG) hari ini, Perdana Menteri berkata ia juga bagi mengelak tragedi bencana alam di negara ini seperti banjir yang melanda baru-baru ini berulang pada masa hadapan.

"Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. Ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan. Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian.

"Sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG," katanya ketika merasmikan pelancaran Yayasan MySDG di Kementerian Kewangan, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz.

Ismail Sabri berkata, sektor perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu bersama-sama turut serta menyumbang bagi melengkapi usaha kerajaan mencapai matlamat SDG menjelang 2030.

Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, beliau mengajak seluruh Keluarga Malaysia tidak kira sektor swasta, NGO, CSO atau individu di dalam dan di luar negara untuk sama-sama menyumbang kepada Dana Amanah MySDG.

Dana Amanah MySDG adalah kerjasama antara kerajaan dengan PBB di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

Matlamatnya antara lain bertujuan membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

Penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan SDG bagi memastikan Agenda 2030 tercapai.

"Sebagai langkah pertama, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa sumbangan kepada dana akan menerima potongan cukai hingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat.

"Saya berharap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif yang bersejarah ini. Saya berterima kasih kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas bantuan dan kerjasama yang diberikan, terutama dalam mempromosikan inisiatif ini kepada penyumbang antarabangsa yang sentiasa yakin dengan usaha dan aspirasi Malaysia dalam mencapai matlamat ini," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Yayasan MySDG yang dilancarkan hari ini akan menjadi platform bagi menyelaras geran daripada pelbagai sumber dengan lebih baik. Penubuhan yayasan itu hasil kerjasama kerajaan dengan PBB di Malaysia, turut membabitkan komitmen peruntukan RM20 juta oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, usaha itu akan turut merapatkan jurang pembiayaan melalui sumbangan daripada sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau individu dari dalam dan luar negara yang dilaksanakan melalui kaedah lebih sistematik dan mampan serta memastikan ketelusan saluran untuk menyumbang kepada agenda matlamat pembangunan mampan (SDG).

"Pelbagai dana telah ditubuhkan dan diuruskan oleh pihak berkepentingan untuk mengatasi isu yang meliputi pembasmian kemiskinan, kebajikan hidupan liar serta pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.

"Namun dana-dana berkenaan seringkali berhadapan isu kelangsungan termasuk kekangan kewangan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program dan projek dalam jangka panjang.

"Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan dana yang lebih selaras dan bersepadu bagi membiayai program dan projek di negara ini yang mungkin di luar cakupan peruntukan tahunan kerajaan," katanya.

Yayasan itu akan ditadbir oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada individu disegani dalam kalangan sektor awam, penggiat industri, ketua masyarakat sivil serta pakar dalam bidang tertentu.

Menurut Tengku Zafrul, sejak menerajui Kementerian Kewangan (MOF) pada Mac 2020, beliau telah berusaha dalam memastikan bajet tahunan negara dijajarkan sepenuhnya dengan SDG dan setiap program dan projek disasarkan kepada sekurang-kurangnya satu SDG.

MOF turut mengambil beberapa langkah tambahan bagi mencapai SDG termasuk menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat pada April tahun lalu dengan lebihan langganan sebanyak 6.4 kali dan saiz terbitan ditingkatkan daripada AS$1 bilion kepada AS$1.3 bilion.

Berita Harian X