Rabu, 26 Januari 2022 | 2:45pm
Laporan BH Online pada 18 Januari 2022 mengenai penafian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap tuduhan dakwaan gangguan seksual dikaitkan dengannya.
Laporan BH Online pada 18 Januari 2022 mengenai penafian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap tuduhan dakwaan gangguan seksual dikaitkan dengannya.

Siasatan dakwaan gangguan seksual ADUN Sedili selesai

JOHOR BAHRU: Polis Johor sudah melengkapkan siasatan dakwaan gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain ke atas seorang Ahli Jawatankuasa Srikandi BERSATU.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan terhadap 11 individu, termasuk ADUN terbabit dan mangsa sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat bahagian perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu.

"Kertas siasatan sudah kita majukan kepada bahagian perundangan dan mereka akan meneliti serta buat kajian hasil siasatan yang kita jalankan, kita masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menerusi laporan polis yang tular sebelum ini, mangsa berusia 26 tahun mendakwa diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri Rasman pada awal bulan ini.

Mangsa mendakwa ia bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari sebelum gangguan berulang pada 3 dan 12 Januari, namun dia mendiamkan diri kerana takut sebelum akhirnya membuat laporan polis selepas kejadian terakhir yang didakwa pada 13 Januari.

Namun, Rasman pada 18 Januari, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan wanita berkenaan dan menyifatkan ia bukan sahaja satu konspirasi politik, malah fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasinya selaku wakil rakyat.

"Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan itu. Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat. Saya juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Saya juga berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya seperti ini," katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan media sebelum ini.

Berita Harian X