Rabu, 26 Januari 2022 | 2:06pm
Premis diarah dikosongkan bagi memberi ruang kepada proses pemasangan cerucuk besi serta pengukuhan tanah di lokasi kejadian. -Foto
Premis diarah dikosongkan bagi memberi ruang kepada proses pemasangan cerucuk besi serta pengukuhan tanah di lokasi kejadian. -Foto

10 kenderaan selamat, 3 tergelongsor akibat tanah mendap

SERI KEMBANGAN: Sebanyak 10 kenderaan pelanggan bengkel berjaya diselamatkan manakala tiga lagi tergelongsor jatuh ke kawasan tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini, semalam.

Demikian kata seorang pekerja bengkel dekat kawasan kejadian, Alter Jasan, 39, yang masih berada dalam keadaan trauma.

Alter berkata, kejadian sama pernah berlaku di kawasan terbabit pada 2017, namun ia tidak seteruk seperti yang berlaku semalam.

"Semalam pada jam kira-kira 5 petang, seorang pekerja pejabat di bengkel tingkat atas memberi amaran selepas melihat kesan rekahan jalan hadapan premis.

"Saya sempat lari mengalihkan 10 kereta pelanggan, namun sebuah van dan dua kereta mereka tidak sempat diselamatkan kerana tanah sudah mendap.

"Saya menjadi tidak terdaya dan masih trauma dengan kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Dalam pada itu, Alter berkata, pihaknya diminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengosongkan premis bagi memberi ruang kepada proses pemasangan cerucuk besi serta pengukuhan tanah di lokasi kejadian.

Katanya, proses itu dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu yang secara tidak langsung menjejaskan pendapatan perniagaan.

"Kita sedang kemas barang sebelum tutup bengkel mengikut arahan pihak berkuasa.

"Kita juga minta PBT supaya menjalankan siasatan dan tangani insiden itu secara menyeluruh dengan langkah keselamatan lebih kukuh bagi elak insiden sama berulang," katanya.

Media melaporkan bomba menerima maklumat jam 6.38 petang semalam sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati lima kenderaan rosak akibat kejadian berkenaan.

Kelihatan sebahagian jalan runtuh mengakibatkan bebeberapa kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Kelihatan sebahagian jalan runtuh mengakibatkan bebeberapa kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, kakitangan kedai pakaian, Nur Diana Ibrahim, 24, berkata dia tidak mendengar sebarang bunyi dentuman ketika kejadian tanah mendap berkenaan.

Katanya, hujan lebat di kawasan itu pada jam 5 petang dan mula berhenti sejam kemudian ketika kejadian tanah mendap berlaku.

"Kejadian tanah mendap berlaku begitu pantas dan tiada sebarang bunyi runtuhan kedengaran.

"Kami bernasib baik tiada pekerja yang cedera, berikutan majoritinya sudah pulang ke rumah masing-masing selepas syif kerja tamat," katanya.

Nur Diana berkata, kakitangan kedai ketika ini sedang memindahkan stok pakaian ke sebuah lagi premis di kawasan berkenaan yang dibenarkan beroperasi.

"Buat masa ini, kita diarahkan kosongkan segera premis untuk tempoh seminggu. Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana situasinya di sini sebelum kedai kembali beroperasi," katanya.

Berita Harian X