Rabu, 26 Januari 2022 | 11:16am
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

47.5 peratus populasi dewasa sudah terima dos penggalak

KUALA LUMPUR: Seramai 11,119,363 individu atau 47.5 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19, setakat jam 11.59 malam tadi.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, seramai 22,918,854 individu (97.9 peratus) populasi dewasa pula telah lengkap vaksinasi, manakala 23,196,650 (99.1 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin berkenaan.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,783,457 individu (88.4 peratus) sudah lengkap imunisasi, dan 2,865,416 (91.0 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin COVID-19.

Statistik harian menunjukkan sebanyak 213,226 dos vaksin disuntik, semalam, membabitkan 2,169 dos pertama, dos lengkap (2,680) dan dos penggalak (208,377).

Ia menjadikan jumlah kumulatif vaksin diberi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencecah 62,679,781 dos.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui hantaran dalam Facebook rasmi beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt seluruh negara ialah 1.09, setakat semalam.

Negeri Sembilan mencatat nilai Rt tertinggi, iaitu 1.13, diikuti Johor (1.10), Kedah (1.09), Kuala Lumpur (1.07), Selangor (1.05), Pulau Pinang dan Melaka (masing-masing 1.03), Sabah (1.01) dan Kelantan (1.0). – BERNAMA

Berita Harian X