Selasa, 25 Januari 2022 | 2:44pm

Peguam terima Sarjana Sains pada usia 81 tahun

KUALA NERUS: Usianya yang sudah 81 tahun, bukan penghalang buat seorang peguam yang juga datuk kepada empat cucu, untuk berusaha menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Sains di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kejayaannya menamatkan pengajian itu menyaksikan Datuk Victor Isaacs muncul graduan paling berusia pada Majlis Konvokesyen UniSZA di sini, hari ini.

Berkongsi kejayaan itu, Victor Isaacs berkata, menyambung pengajian pada usia emas bukan mudah tetapi ia antara cabaran harus ditempuhinya.

"Bukan sahaja faktor usia yang menjadi cabaran tetapi meneruskan pengajian dalam bidang berbeza juga adalah cabaran besar sepanjang tempoh lebih empat tahun belajar di UniSZA.

"Sebelum ini, saya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan mempunyai firma guaman sendiri serta bekerja sebagai peguam sejak 40 tahun lalu.

"Bukan sekadar ijazah sarjana tetapi saya sekarang meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) mengenai penyelidikan dalam bidang Euthanasia," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu di sini, hari ini.

Bapa kepada enam anak itu, berkata beliau menyambung pengajian peringkat sarjana kerana ingin menambah ilmu pengetahuan, seterusnya melanjutkan pengajian peringkat PhD penyelidikan Euthanasia.

"Saya sedang buat kajian tentang keganasan dalam rumah tangga yang dipengaruhi dadah dan sudah menemuramah beberapa orang penagih berkenaan kajian ini," katanya.

Beliau berharap kejayaannya menamatkan pengajian peringkat sarjana pada usia 81 tahun memberi inspirasi kepada semua golongan untuk menuntut ilmu hingga ke akhir hayat.

"Semua orang seharusnya memanfaatkan masa untuk terus belajar tidak mengira usia," katanya.

Datuk Victor Isaacs muncul graduan paling berusia pada Majlis Konvokesyen UniSZA hari ini
Datuk Victor Isaacs muncul graduan paling berusia pada Majlis Konvokesyen UniSZA hari ini
Berita Harian X