Ahad, 23 Januari 2022 | 11:03am
Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga lokasi panas di daerah Tampin, semalam. - Foto PDRM
Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga lokasi panas di daerah Tampin, semalam. - Foto PDRM

Polis serbu 'port' dadah di FELDA, 41 ditahan

TAMPIN: Polis menahan 41 penagih dadah dalam serbuan di tiga FELDA di Tampin dan Gemas dalam Ops Tapis Khas serta Ops Sarang.

Malah, dalam serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin pada semalam dan kelmarin turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM6,400.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, operasi berkenaan menumpukan 'port' atau sarang penagihan dadah di sekitar daerah Tampin terutamanya di kawasan FELDA.

"Kita menahan sembilan penagih dalam pemeriksaan di sekitar Tampin dan FELDA Bukit Jalur dan merampas empat gram dadah heroin dan empat gram syabu.

"Serbuan yang dijalankan di FELDA Sungai Kelamah, Gemas pula menahan seramai 13 penagih bersama tokan yang terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

"Kita turut merampas dadah heroin seberat 60 gram serta dadah jenis syabu seberat tujuh gram. Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM3,500," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, serbuan seterusnya di kawasan FELDA Jelai 4, Gemas, dan menahan seramai 19 penagih bersama tokan yang terdiri daripada 19 lelaki berusia dalam lingkungan 27 hingga 65 tahun.

"Dadah yang dirampas adalah dadah heroin seberat 35 gram dan dadah jenis Syabu seberat enam gram. Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM2,300," katanya.

Anuwal berkata, operasi selama dua hari itu berjaya menahan seramai 41 individu dan berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah berjumlah 99 gram Heroin dan 17 gram Syabu dengan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM6,400.

"Hasil semakan rekod jenayah untuk semua tangkapan, seramai 12 penagih akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 memandangkan mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Semua suspek direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Berita Harian X