Sabtu, 22 Januari 2022 | 9:19pm
- Foto FB Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
- Foto FB Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

800 VETOA dilantik renjer hidupan liar

KUALA LUMPUR: Seramai 800 Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli (VETOA) dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, berkata mereka yang menerima watikah pelantikan itu adalah 224 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VET), 439 Orang Asli (OA), 112 orang awam, 15 veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Beliau berkata, mereka akan berperanan dalam membanteras jenayah membabitkan hidupan liar selari dengan matlamat program BP3 yang ditubuhkan bawah PERHILITAN, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sejak 29 Jun 2020.

"Pelantikan Renjer Hidupan Liar bawah Program BP3 ini diharap dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar.

"Program BP3 membabitkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin, Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau dan RHL Sungkai.

"Program BP3 ini turut membabitkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM serta agensi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar di kawasan tumpuan dalam kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia.

"Ia termasuk Taman Negara, RHL, Taman Negeri, Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan tapak RAMSAR," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

- Foto FB Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
- Foto FB Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

Pada masa sama, Ali berkata, kepakaran VET dan OA meningkatkan keberkesanan pengesanan kes di kawasan tumpuan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Beliau berkata, pembabitan VET dan OA juga dapat memupuk rasa tanggungjawab untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

"Selain agensi kerajaan, NGO yang turut terbabit dalam program BP3 ialah Perikatan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MYCAT) yang terdiri Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS).

"Ia turut membabitkan Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF), Persatuan Pencinta Alam (MNS), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (PELINDUNG) dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia (RIMBA)," katanya.

Berita Harian X