Sabtu, 22 Januari 2022 | 6:52pm
Operasi pemadaman kebakaran terus giat dijalankan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung. - FOTO BERNAMA
Operasi pemadaman kebakaran terus giat dijalankan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung. - FOTO BERNAMA

42 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan

NIBONG TEBAL: Sebanyak 42 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram, di sini, sudah berjaya dipadamkan selepas 10 hari operasi pemadaman dilaksanakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata operasi pemadaman baki 58 peratus kawasan tapak pelupusan itu yang masih terbakar, sedang giat dijalankan dengan menggunakan pelbagai kaedah membabitkan pelbagai agensi.

"Hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan itu ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar terbakar dan kerja pemadaman giat dijalan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. Kita berharap api akan berjaya dipadamkan secepat mungkin.

"Langkah 'fire break' (sesekat api) juga dilakukan bagi mengawal api daripada terus merebak. Pelbagai peralatan dan jentera digunakan, malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang juga menggunakan dron dilengkapi kamera terma bagi membantu pihak bomba mengenal pasti titik-titik panas untuk tujuan pemadaman," katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, di sini, hari ini.

Operasi pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah itu yang berlaku sejak 12 Januari lalu, dibantu pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulai Pinang dan syarikat pengurusan tapak berkenaan, PLB Terang Sdn Bhd.

Sementara itu pada sidang media sama, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizan Timaradin, berkata selain jentera dan helikopter, pihaknya turut mendapat bantuan pegawai dan anggota bomba dari Perak serta Negeri Sembilan dan pasukan udara dari Pangkalan Subang dalam operasi pemadaman kebakaran berkenaan.

"Setakat ini, kami tidak dapat menentukan berapa lama lagi diperlukan untuk memadamkan keseluruhan kawasan yang terbakar itu. Buat masa ini, ia agak sukar (untuk menentukan tempoh itu) tetapi kita perlu berusaha ke arah itu.

"Cuma kekangan (untuk memadamkan kebakaran) kerana kedudukan tapak pelupusan itu berada berhampiran laut menyebabkan tiupan angin kuat," katanya sambil memaklumkan seramai 50 pegawai dan anggota bomba terbabit operasi pemadaman itu pada setiap syif, dengan tiga syif setiap hari.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab pula berkata setakat ini, kepulan asap yang berpunca daripada kebakaran di tapak pelupusan itu tidak meliputi daerah lain, berikutan indeks pencemaran udara (IPU) yang tinggi hanya dikesan di kawasan Ladang Byram.

"Jika ada yang menyatakan pencemaran udara itu telah sampai ke bahagian pulau, sebagai contoh, maka mereka boleh membuat laporan terus kepada kami. Namun setakat ini berdasarkan laporan stesen pengawasan kualiti udara di Perai, Bayan Lepas dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam keadaan baik," katanya.

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 selepas kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan. – BERNAMA

Berita Harian X