Sabtu, 22 Januari 2022 | 3:50pm
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) menyampaikan sijil penghargaan wira Bomba bagi kategori orang awam kepada Azwan Omar yang lebih dikenali sebagai Abang Viva pada majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JBPM di Ibu Pejabat JBPM hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) menyampaikan sijil penghargaan wira Bomba bagi kategori orang awam kepada Azwan Omar yang lebih dikenali sebagai Abang Viva pada majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JBPM di Ibu Pejabat JBPM hari ini. - Foto BERNAMA

'Abang Viva' rancang berhenti kerja tumpu kerja sukarelawan

PUTRAJAYA: Selepas menerima pelbagai hadiah dan anugerah daripada banyak pihak, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, hari ini, menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas keprihatinannya membantu mangsa banjir pada Disember tahun lalu.

Azwan menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 JBPM di sini.

Azwan berkata, beliau gembira dan bersyukur apabila menerima sijil penghargaan yang tidak dijangka itu.

Katanya, penghargaan itu kali kedua diterima daripada pasukan keselamatan selepas dipilih menjadi anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Ketika ini, katanya, beliau masih bercuti dan bercadang menamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat bagi menumpukan perhatian kepada kerja-kerja sukarelawan.

"Kerja-kerja sukarelawan yang diceburi sekarang memberi kepuasan kepada diri dan ketika ini saya lebih selesa membuat kerja kebajikan bagi membantu golongan memerlukan," katanya ketika ditemui.

AZWAN Omar bersama kereta VIVA yang dipandu dalam misi menyelamat mangsa banjir. Foto fail NSTP
AZWAN Omar bersama kereta VIVA yang dipandu dalam misi menyelamat mangsa banjir. Foto fail NSTP

Azwan berkata, dalam masa terdekat beliau bercadang menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa banjir di pusat tahfiz di Pahang.

Katanya, beliau juga sudah menjalankan kutipan dana sejak dua hari lalu melalui laman sosial Facebook bagi membantu menyediakan peralatan di pusat tahfiz yang terjejas banjir.

"Saya enggan mendedahkan jumlah sumbangan yang terkumpul setakat ini dan berharap akan bertambah sebelum meneruskan misi baharu ini," katanya.

Pada majlis itu, seramai 15 individu dianugerahkan Sijil Penghargaan Wira Bomba terdiri daripada orang awam, enam menerima Sijil Penghargaan Agensi dan 15 menerima Sijil Penghargaan Pengamal Media.

Berita Harian X