Sabtu, 22 Januari 2022 | 1:52pm
Idris (dua, kiri) melawat gerai jualan produk OKU sebelum melancarkan Tabung Perastuan OKU Berdaya Hulu Langat. FOTO BERNAMA
Idris (dua, kiri) melawat gerai jualan produk OKU sebelum melancarkan Tabung Perastuan OKU Berdaya Hulu Langat. FOTO BERNAMA

Merungut mungkin tak faham - Idris

SHAH ALAM: Tindakan segelintir individu mempersoalkan waktu pengajaran bagi subjek Pendidikan Agama Islam di sekolah kebangsaan (SK) yang lebih banyak daripada subjek teras adalah pandangan minoriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, rungutan itu juga sesuatu yang pelik kerana tiada aduan diterima mengenai subjek itu selama ini.

"Agak pelik kalau orang cuba merungut mengenai bab itu (waktu pengajaran) dan kita agak sedih sebab sebelum ini tiada rungutan.

"Bagaimanapun, itu lumrah dalam masyarakat dan mungkin juga dia tidak faham atau sengaja tidak faham, justeru kita anggap ia pandangan minoriti," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, hari ini.

Sebelum ini tular di laman Twitter ciapan seorang bapa yang mendakwa waktu pengajaran bagi subjek Pendidikan Agama Islam di sekolah anaknya lebih lama berbanding subjek teras iaitu matematik serta sains sedangkan ia adalah SK dan bukan sekolah agama.

Dalam pada itu, Idris memaklumkan sebuah madrasah khas bagi Orang kelainan Upaya (OKU) akan dibina di Sungai Burong, Tanjong Karang.

Katanya, Madrasah Tahfiz OKU Ata' bin Abi Rabah (MATAAR) diusahakan badan bukan kerajaan (NGO) dan akan dilengkapi dengan kemudahan khusus untuk OKU.

Pengerusi MATAAR Dr Abdol Hamid Ishak pula berkata, madrasah itu akan dibina di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seluas lebih satu hektar.

Berita Harian X