Khamis, 20 Januari 2022 | 1:23pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Jual sijil vaksinasi dikhuatiri merebak seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kegiatan menjual sijil vaksinasi dikhuatiri semakin merebak ke seluruh negara jika dos penggalak dijadikan mandatori atau syarat wajib untuk rakyat dibenarkan bergerak bebas.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, individu yang enggan mengambil dos penggalak dikhuatiri cenderung membeli sijil vaksinasi palsu untuk 'melepasi' syarat berkenaan.

Beliau berkata, kegiatan jenayah berkenaan agak sukar dipantau kerana ia membabitkan persetujuan bersama antara penerima dan doktor, justeru faktor amanah dan etika adalah isu yang penting untuk ditangani.

"Mengenai ramai tidak setuju peranan klinik swasta untuk terbabit vaksinasi COVID-19, persoalan timbul adakah perlu hanya klinik kerajaan saja dibenarkan untuk beri vaksin dalam situasi sekarang?

"Bagi saya, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta dibenarkan untuk mengurangkan beban klinik kerajaan dan memudahkan orang ramai.

"Perkara yang sama juga boleh dan pernah berlaku di PPV kerajaan. Kegiatan urus niaga sijil vaksinasi tanpa suntikan vaksin yang berlaku ketika ini adalah faktor manusia iaitu penerima dan pemberi perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, selain golongan antivaksin, kemungkinan besar individu yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin juga tertarik dengan tawaran mendapatkan sijil vaksinasi tanpa suntikan.

"Kerajaan tak perlu jadikan dos penggalak sebagai mandatori atau pelaksanaannya terlalu keras. Biarlah ia sebagai pilihan individu itu sendiri secara sukarela," katanya.

Kes penipuan membabitkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan dilihat semakin membimbangkan apabila beberapa premis perubatan swasta dikesan melakukan jenayah itu.

Peningkatan kes dilaporkan berlaku di lima negeri iaitu Terengganu, Selangor, Kelantan, Johor dan Kedah susulan pemantauan serta risikan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X