Khamis, 20 Januari 2022 | 11:35am
 Foto ihsan AGENSI
Foto ihsan AGENSI

AADK layan klien sebagai pesakit, bukan pesalah

KUALA LUMPUR: Individu atau klien yang menjalani rawatan pemulihan di fasiliti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak dilayan sebagai pesalah, sebaliknya menerima rawatan menyeluruh sebagai pesakit menerusi Model i-Pulih AADK.

AADK dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu komited memperluaskan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dual diagnosis membabitkan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental peringkat awal di semua fasiliti AADK termasuk di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.

Agensi itu turut menyeru semua pihak yang mempunyai masalah penagihan atau penyalahgunaan dadah dan substan untuk merujuk kepada mereka dengan segera.

"AADK sentiasa memberi peluang kepada semua pihak untuk menerima rawatan dan pemulihan supaya dapat kembali dan berfungsi dalam masyarakat.

"Tidak perlu berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan ahli keluarga, malah mereka perlu menjadikan bantuan rawatan dan pemulihan dadah AADK sebagai antara kaedah untuk mengeratkan kasih sayang," katanya.

Pada masa sama, masyarakat juga diseru untuk tidak memandang serong terhadap individu yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan di AADK.

"Sekiranya anda atau orang dikenali terbabit dalam permasalahan dadah, dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK melalui talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233," menurut kenyataan itu.

Berita Harian X