Khamis, 20 Januari 2022 | 8:47am
Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.
Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Pendaftaran GRS kukuhkan politik, lonjak ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri ketika ini perlu dijadikan gabungan politik rasmi demi kestabilan jangka panjang politik dan pembangunan secara berterusan.

Ketika menyokong cadangan mendaftarkan gabungan itu seperti disuarakan pelbagai pihak sebelum ini, Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata paling penting adalah untuk memastikan ekonomi Sabah terus berkembang.

Katanya, pendaftaran GRS sebagai gabungan politik rasmi bukan saja mampu menstabilkan politik dan kerajaan Sabah, malah membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri.

"Kita kena faham bahawa untuk menarik pelabur luar ke Sabah, satu faktor paling penting ialah kestabilan kerajaan itu sendiri. Jika GRS dijadikan gabungan rasmi maka kita yakin pelabur luar akan lebih mudah masuk ke negeri ini.

"Keadaan itu secara langsung mampu meningkatkan pendapatan serta kemajuan ekonomi Sabah sekali gus membolehkan kita menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam mengenai perbincangan awal untuk mendaftarkan gabungan itu bersama rakan parti politik lain.

GRS dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 dengan dianggotai parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta komponen Perikanan Nasional (PN) iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan BERSATU serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Mengulas lanjut, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menyatakan harapannya agar usaha mendaftarkan GRS sebagai satu gabungan rasmi dan sah dipercepatkan supaya gerak kerjanya dapat disusun dengan baik, khususnya dalam menyelesaikan sesuatu isu atau melaksanakan program pembangunan rakyat.

"Kita berharap dengan adanya GRS yang sah bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti yang akan bekerja mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

"Kita mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah. Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat," katanya.

Berita Harian X