Rabu, 19 Januari 2022 | 7:50pm
Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytihar kawasan bencana tahap 1

NIBONG TEBAL: Tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata susulan pengisytiharan itu orang ramai tidak lagi dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

"Asap kesan kebakaran tapak pelupusan sampah itu masih mencemari kawasan sekitar dan kita sudah memulakan operasi bencana sejak Isnin.

"Justeru, kita mengisytihar kawasan tapak pelupusan sampah itu sebagai kawasan bencana Tahap Satu. Hanya mereka yang berkenaan dibenarkan masuk ke kawasan bencana.

"Selain daripada itu, tidak dibenarkan masuk demi keselamatan dan kesihatan diri sendiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dilaporkan lebih empat hektar daripada tapak pelupusan sampah seluas 16 hektar itu musnah dalam kebakaran berlaku pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, asap toksik di tapak pelupusan berkenaan mengakibatkan pencemaran udara hingga menjejaskan Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru berhampiran, menyebabkan kira-kira 400 penduduk dari kedua-dua kampung itu terpaksa dipindahkan.

Selain itu, 10 sekolah berada dalam jarak 10 kilometer dari tapak pelupusan sampah terbabit turut diarahkan ditutup tiga hari sehingga Jumaat.

Awal pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kaedah pemadaman dari udara atau pengeboman air dengan melakukan 16 pusingan.

Dalam sidang media sama, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Hafiz Hafizan Timaradin berkata, usaha pengeboman air itu menunjukkan hasil yang positif.

"Kami mula melihat hasil yang positif dan buat masa sekarang berjaya memadam kira-kira 35 peratus kebakaran, selain mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

"Kebakaran pada permukaan berjaya dipadamkan sepenuhnya. Apa yang dibimbangi api dari dalam tanah gambut.

"Dengan pengeboman air menunjukkan hasil positif, kami akan mengadakan operasi sama lagi esok," katanya.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Marlia Mohd Belia dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Berita Harian X