Rabu, 19 Januari 2022 | 5:11pm
Abdul Latif di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Abdul Latif di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Mahkamah lepas, bebaskan abang Abdul Azeez

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan semakan dikemukakan abang kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, untuk dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah.

Mahkamah Sesyen pada 8 Februari tahun lalu, melepaskan tanpa membebaskan Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, daripada dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima rasuah membabitkan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Perak serta Kedah.

Dalam keputusan hari ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati alasan dikemukakan pihak pendakwaan (untuk melepas tanpa membebaskan) tidak mempunyai sebarang merit.

Katanya, pemohon perlu dilepas dan dibebaskan, kecuali terdapat alasan wajar yang menunjukkan sebaliknya.

Beliau berkata, alasan bahawa pemohon akan menjadi saksi pendakwaan dalam kes rasuah tertuduh lain (Abdul Azeez), akan membawa kepada kemungkinan bahawa Abdul Latif secara efektif dijadikan 'tebusan' untuk memberi keterangan yang memihak kepada pendakwaan.

Katanya, ia juga bukan alasan yang wajar untuk melepas tanpa membebaskan pemohon, malah ada kemungkinan keterangan yang diberikan itu akan dipertikaikan dan seterusnya dianggap tidak boleh diterima.

"Alasan lain diberikan ialah sekiranya terdapat sebarang perkembangan dalam keterangan yang diberikan, kes terhadap pemohon akan disambung semula.

"Ini juga tidak boleh dianggap sebagai alasan wajar kerana tiada apa-apa yang akan menunjukkan bahawa pihak pendakwaan akan meneruskan dengan apa-apa yang pasti pada masa hadapan. Ini menyebabkan pemohon berada dalam ketidakpastian.

"Oleh itu, permohonan semakan ini dibenarkan. Perintah Mahkamah Sesyen dengan itu diketepikan serta pemohon dilepas dan dibebaskan," katanya.

Pada 16 Januari 2019, Abdul Latif, 64, dihadapkan dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd untuk mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu membabitkan Lebuh Raya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor, antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Latif diwakili peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Sebelum ini, kes terhadap Abdul Azeez, 55, yang berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram, ditangguhkan sementara rayuannya untuk membatalkan semua pertuduhan itu akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Berita Harian X