Rabu, 19 Januari 2022 | 3:20pm
Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung tidak menghalang kerja melupuskan sampah di situ
Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung tidak menghalang kerja melupuskan sampah di situ

Operasi pelupusan Pulau Burung tetap berjalan walaupun sebahagiannya masih terbakar

NIBONG TEBAL: Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini yang sedang terbakar, masih beroperasi seperti biasa dengan kegiatan pengutipan sampah untuk dilupuskan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata setakat ini, kebanyakan tidak menjejaskan proses pelupusan sampah di situ.

"Kebakaran hanya berlaku di tapak satu dan dua pelupusan di situ dan kini operasi pemadaman sudah masuk ke fasa tiga.

"Susulan itu, operasi mengutip serta melupuskan sampah masih diteruskan dan ia tidak terjejas," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang Rabu minggu lalu dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.

Anggaran keluasan terbabit kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang yang hari ini melakukan pemadaman dari udara menggunakan kaedah pengeboman air.

Susulan daripada kebakaran itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara dan mengesan kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah kemudian dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dekat situ sehingga keadaan pulih.

Sementara itu, seorang penduduk yang berpindah ke PPS SK Saujana Indah, Mohd Sharizal Md Sharif, 45, membuat keputusan meninggalkan kediamannya di Kampung Kebun Baru demi keselamatan isteri serta tiga anaknya.

"Jika diikutkan siapa yang hendak pindah, tambahan pula tidak tahu sampai bila kena kosongkan rumah.

"Namun, saya akur dengan arahan demi kesihatan walaupun keadaan PPS kurang selesa bagi saya jika dibandingkan duduk di rumah sendiri. Bagaimanapun saya reda dan bertawakal sahaja yang pada masa sama saya harap cepat keadaan pulih kerana nak pulang ke rumah dengan segera," katanya.

Mohd Sharizal memohon pihak berkaitan supaya menitikberatkan soal kebajikan penduduk yang memilih untuk berpindah ke PPS.

"Ini kerana saya dapati kemudahan seperti bantal diberikan tidak mencukupi sedangkan berapa sahaja keluarga yang ada di sini.

"Dari segi makanan semuanya teratur yang saya berharap soal kebajikan lain penduduk dapat diberi keutamaan dan selesa kerana kami tidak tahu sampai bila kena duduk di sini," katanya.

Berita Harian X