Rabu, 19 Januari 2022 | 2:48pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Gaji 800,000 penjawat awam lebih rendah daripada PGK

PETALING JAYA: Lebih 800,000 penjawat awam di negara ini tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berikutan sistem penggajian dan saraan tidak dikaji dan distruktur semula sejak 2002.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata penjawat awam dengan gred lantikan 19 dan ke bawah, masih memperoleh pendapatan di bawah PGK meskipun selepas menerima Bantuan Sara Hidup (COLA), Imbuhan Tetap Perumahan dan Elaun Khidmat Awam.

Berikutan itu, Adnan menggesa kerajaan untuk menyegerakan kajian semula terhadap sistem penggajian dan saraan kerana ia disifatkan sudah tidak relevan dengan kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung kini.

Katanya, daripada 1.62 juta penjawat awam, lebih 800,000 daripadanya terdiri daripada golongan B40 iaitu mereka dengan gred 19 dan ke bawah terutamanya gred 11 yang jika terlantik, gaji permulaan diterima hanyalah RM1,208.

"Jika ditambah COLA dan pelbagai elaun lagi, pendapatan mereka hanya mencecah RM1,950 dan ia masih di bawah PGK ditetapkan iaitu RM2,208 jadi kerajaan perlu segera ubah sistem penggajian dan saraan yang tidak relevan sekarang kerana sudah berlangsung selama 20 tahun.

"Gaji tidak naik menyebabkan kuasa membeli penjawat awam semakin mengecil sedangkan harga barang terus meningkat. Ini sememangnya memberi kesan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah di Wisma Ungku A Aziz, di sini.

Antara agenda yang dibincangkan CUEPACS dan ANGKASA dalam mesyuarat itu termasuk kaedah yang boleh dimainkan koperasi bagi membantu penjawat awam untuk menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup yang berlaku kini.

Adnan berkata, ANGKASA melalui pelbagai koperasi di bawahnya akan membekalkan lebih 100 barangan harian kepada penjawat awam di negara ini pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Pada masa sama, beliau juga menggesa supaya semua ketua perkhidmatan awam mengaktifkan koperasi dalaman dengan menyediakan ruang di setiap kementerian bagi membekalkan barangan keperluan asas kepada penjawat awam pada harga yang lebih murah.

Langkah itu katanya, selain sebagai tanda sokongan kepada penjawat awam, ia juga dapat memastikan harga barangan harian dapat dikawal sekali gus mengelak daripada golongan yang gemar mengambil kesempatan.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, setakat ini sambutan yang diterima koperasi di bawah ANGKASA dalam pembekalan pelbagai jenis barangan harian kepada penjawat awam sangat menggalakkan.

Setakat ini katanya, terdapat 3,000 koperasi yang sudah dikenal pasti ANGKASA dan 2,000 daripadanya sudah mendaftar untuk Program Barang Asas 100 (BA100) membabitkan penjualan barangan keperluan harian termasuk secara dalam talian.

"Daripada 2,000 yang berdaftar, 500 daripadanya kini aktif dalam membekalkan barangan manakala baki 1,500 koperasi lagi kini dalam proses untuk lebih aktif

"Program ini sudah bermula sejak tahun 2000. Ia turut menyediakan platform dalam talian bagi memudahkan pesanan dan penghantaran barangan.

"Fasa keduanya nanti akan membabitkan penjualan barangan basah pula," katanya.

Berita Harian X