Rabu, 19 Januari 2022 | 1:58pm

'Siasatan dakwaan gangguan seksual ADUN dijangka lengkap minggu ini'

JOHOR BAHRU: Siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dan seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi BERSATU, Bahagian Kota Tinggi, dijangka akan dilengkapkan minggu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata setakat ini polis sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan berkaitan dakwaan kes itu

Katanya, ADUN berkenaan serta wanita yang mẹmbuat laporan itu juga sudah dipanggil untuk dirakam keterangan masing-masing.

"Setakat ini, siasatan masih berjalan dan beberapa individu sudah kita panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

"Kita masih lagi menyiasat, Insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari lagi untuk selesaikan siasatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dakwaan salah laku ADUN terbabit, terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, Rasman menerusi kenyataan pada tengah malam Selasa, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang wanita yang membuat laporan polis yang mendakwa diganggu secara seksual, Isnin lalu.

Rasman dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan dilihat sebagai konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalarkan reputasinya selaku seorang wakil rakyat.

- Foto hiasan
- Foto hiasan
Berita Harian X