Rabu, 19 Januari 2022 | 8:58am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

JHEAT digesa tambah jurumandi jenazah, pembantu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diminta mewujudkan lebih ramai jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah di negeri ini khususnya di setiap kampung.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata ketiadaan pihak berkenaan menggusarkan masyarakat sehingga memaksa penduduk mendapatkan jurumandi dari luar sekali gus meningkatkan kos menguruskan jenazah.

"Kita cadangkan JHEAT menganjurkan lebih banyak kursus pengurusan jenazah kerana ketiadaan jurumandi dan pembantu jurumandi amat memalukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengulas beberapa kampung terutama di Hulu Terengganu tidak mempunyai kumpulan pengurusan jenazah.

Beliau berkata ketiadaan kumpulan pengurusan jenazah di beberapa kampung menyebabkan kelewatan urusan pengebumian.

Katanya, ada antara penduduk terpaksa menggunakan khidmat pengurusan jenazah daripada mukim dan kampung lain menyebabkan berlakunya peningkatan kos.

Sehubungan itu Rosol bercadang menggunakan peruntukan Parlimen untuk menaikkan kadar insentif kepada semua jurumandi dan pembantu jurumandi di Hulu Terengganu.

Katanya, kadar insentif disediakan JHEAT kepada jurumandi adalah RM100, manakala RM100 kepada dua pembantu jurumandi bagi setiap kematian.

"Kita akan berbincang dengan JHEAT, jika dipersetujui, setiap jurumandi akan menerima RM200 iaitu RM100 dari JHEAT, manakala RM100 daripada Pejabat Parlimen Hulu Terengganu.

"Bagi pembantu jurumandi, RM50 daripada JHEAT dan RM50 menggunakan peruntukan Parlimen.

"Saya dimaklumkan, setakat ini jumlah jurumandi dan pembantu jurumandi di seluruh Hulu Terengganu hanya 120 orang," katanya.

Berita Harian X