Selasa, 18 Januari 2022 | 3:10pm
Peningkatan kes penipuan membabitkan sijil vaksin termasuk yang dikeluarkan tanpa suntikan di premis perubatan swasta dipercayai berpunca daripada kumpulan antivaksin yang semakin terdesak. - Foto fail NSTP
Peningkatan kes penipuan membabitkan sijil vaksin termasuk yang dikeluarkan tanpa suntikan di premis perubatan swasta dipercayai berpunca daripada kumpulan antivaksin yang semakin terdesak. - Foto fail NSTP

Golongan antivaksin semakin terdesak

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penipuan membabitkan sijil vaksin termasuk yang dikeluarkan tanpa suntikan di premis perubatan swasta dipercayai berpunca daripada kumpulan antivaksin yang semakin terdesak.

Keadaan itu juga dikatakan terjadi kerana kecelaruan maklumat berkaitan vaksin COVID-19, selain wujud segelintir pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan mudah sehingga sanggup terbabit jenayah.

Aktivis perubatan negara, Dr Suhazeli Abdullah, tidak menolak perkara ini terjadi akibat desakan golongan antivaksin untuk mendapatkan sijil vaksin dengan cara yang salah.

"Saya tidak mengenali setiap doktor yang telah ditangkap memalsukan sijil vaksin berkenaan, namun ia boleh terjadi kerana ada (golongan antivaksin) yang sanggup membayar ribuan ringgit hanya kerana fobia atau takut untuk mengambil vaksin di atas kefahaman falasi yang mereka sendiri ciptakan.

"Mereka terlalu percaya kononnya vaksin itu mengandungi mudarat yang besar sedangkan kajian di seluruh dunia dan dalam negara kita sendiri bahawa vaksin itu selamat serta berkesan mengurangkan jangkitan COVID-19. Manfaat pemberian vaksin terlalu tinggi berbanding sedikit risiko yang mungkin dihadapi," katanya kepada BH.

Manfaat penerimaan vaksin jauh terlalu tinggi berbanding sedikit risiko yang mungkin dihadapi, kata pakar perubatan. - Foto hiasan NSTP
Manfaat penerimaan vaksin jauh terlalu tinggi berbanding sedikit risiko yang mungkin dihadapi, kata pakar perubatan. - Foto hiasan NSTP

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) berkata, kejujuran setiap pengamal perubatan bertauliah amat penting bagi meningkatkan lagi pemberian vaksin dalam negara.

Pemberian vaksin oleh pihak swasta tiada masalah besar selagi mereka jujur dengan amanah yang diberikan.

"Secara peribadi saya mengesyorkan supaya tindakan yang lebih tegas perlu diberi kepada pihak yang cuba menipu dalam pemberian vaksin ataupun pemalsuan sijil vaksin ini.

"Ia memberi satu impak yang lebih besar kepada masyarakat, yang mana kelompongan golongan tidak divaksinkan itu akan lebih tinggi dan akhirnya kita tidak mencapai matlamat pemberian vaksin yang optimum dalam negara kita," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMEDIK), Prof Dr Azizi Ayob, berkata pihak berwajib disyorkan untuk melakukan penguatkuasaan yang lebih ketat berdasarkan peruntukan sedia ada.

Orang ramai juga digesa untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini terutama daripada portal Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pusat dan klinik yang menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin di bawah seliaan kerajaan.

Bagi Pengasas dan Penasihat Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, pengamal perubatan yang menjual sijil vaksin palsu adalah pengkhianat negara.

"Saya tidak pasti apakah pendirian pemilik klinik ini. Jika mereka golongan antivaksin, mereka tidak akan mendaftar diri untuk menjadi pusat pemberian vaksin. Jika guna logik akal, buat apa hendak kenakan caj untuk 'rakan antivaksin'.

"Pada saya, mereka ini berpura-pura untuk bersama-sama membantu negara membanteras COVID-19 dan mengaut keuntungan daripada pengkhianatan yang dilakukan," katanya.

Walaupun sistem pensijilan vaksin dan MySejahtera dilindungi teknologi 'blockchain', di peringkat kemasukan data, manipulasi masih boleh berlaku.

Sistem untuk semakan dan pemantauan pemberian vaksin perlu diperkukuh untuk memastikan hanya individu benar-benar layak akan menerima sijil vaksin yang sah.

Semalam, media melaporkan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, dipetik berkata semua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.

Berita Harian X