Selasa, 18 Januari 2022 | 12:20pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Enam negeri lepasi purata Rt kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 negara ini turun kepada 0.98 semalam berbanding 1.00 dicatatkan kelmarin dengan enam negeri merekodkan kadar lebih tinggi.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter hari ini, Kuala Lumpur mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.06, diikuti Negeri Sembilan (1.05), Melaka dan Sabah masing-masing 1.04, Selangor 1.00 dan Johor (0.99).

Kedah pula mencatatkan Rt 0.97, disusuli Pulau Pinang dan Pahang masing-masing 0.95, Perak (0.94), Kelantan (0.90) dan Terengganu (0.78).

Labuan pula merekodkan tiga kes, diikuti Sarawak (sembilan) dan Perlis (lapan) serta Putrajaya (14).

Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, menunjukkan kes jangkitan harian menurun secara mendatar berbanding tempoh sebulan lalu.

Bilangan kes pada 17 Disember lalu adalah sebanyak 4,363 kes dengan Rt 0.91 dan sehingga semalam ia merekodkan 2,362 dengan Rt 0.98.

Ia sekali gus menunjukkan penurunan berterusan hingga 29 Disember dan selepas itu berlaku sedikit kenaikan dan penurunan secara mendatar hingga 4 Januari, sebelum kembali turun mendatar sehingga semalam.

Ketika ini, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes COVID-19 2,810,689 kes sejak pandemik ini bermula awal 2020.

Berita Harian X