Selasa, 18 Januari 2022 | 12:06pm
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengambil tindakan penambahbaikan berhubung maklum balas ramai mengenai kesesakan yang timbul di plaza tol. -Foto NSTP
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengambil tindakan penambahbaikan berhubung maklum balas ramai mengenai kesesakan yang timbul di plaza tol. -Foto NSTP

Isu RFID: PLUS tambah petugas bantu pelanggan di plaza tol

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengambil tindakan penambahbaikan berhubung maklum balas ramai mengenai kesesakan yang timbul di plaza tolnya berikutan penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PLUS dalam kenyataan hari ini, berkata syarikat itu sudah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Pada masa sama, kata PLUS, pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

"Pelanggan lebuh raya disaran untuk memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan.

"Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch 'n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan.

"Jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan kedua-dua syarikat itu dapat menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

PLUS turut mencatatkan kadar migrasi menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi RFID selepas ia dilaksanakan di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan sejak Sabtu lalu.

"PLUS ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang berhijrah kepada RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaan itu.

"Diharap peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID sejajar gaya hidup digital melalui pembayaran tanpa sentuh dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan," katanya melalui kenyataan itu.

Pelanggan lebuh raya dialu-alukan untuk memberikan maklum balas melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 dan chatbot PLUS, P.U.T.R.I melalui Aplikasi PLUS.

Untuk maklumat terperinci mengenai lokasi pemasangan tag TNG RFID, pengguna boleh melayari portal http://www.touchngo.com.my atau memuat turun e-buku RFID di laman web rasmi PLUS, www.plus.com.my dan platfom media sosialnya, @PLUSTrafik Twitter, Facebook PLUS Malaysia serta Aplikasi PLUS.

Berita Harian X